Antarabangsa
Ford hidupkan semula model Puma, guna enjin EcoBoost dengan sistem mild-hybrid 48V
Erywan
01/07/2019
|
01:46 MYT
Setelah sekian lama, Ford menghidupkan semula nama model Puma tetapi bukan sebagai coupe kompak seperti sebelum ini, sebaliknya sebagai SUV kompak bergaya untuk pasaran Eropah.
Menggunakan platform yang sama dengan Fiesta baharu, Puma tampil reka bentuk yang tidak jauh berbeza dengan model hatchback itu tetapi hadir profil lebih lasak dan ‘stance’ lebih tinggi.
Reka bentuk bahagian dalaman juga jelas dipinjam daripada Fiesta. Namun sebagai sebuah SUV, Puma
menawarkan lebih praktikaliti menerusi ciri-ciri seperti ruang but berkapasiti 456 liter, ruang penyimpanan sebesar 80 liter yang tersembunyi di bawah lantai but dan
tailgate bebas-tangan.
Sistem infotainmen boleh diakses menerusi skrin sentuh 8 inci pada papan pemuka, manakala panel instrumen digital bersaiz 12.3 inci memaparkan maklumat penting mengenai kenderaan dalam gaya lebih moden.
Puma akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Titanium dan ST Line. Seperti biasa, ST Line adalah varian lebih sporty.
Antara kelengkapan yang disertakan adalah
rim 18 inci (boleh dipertingkatkan kepada 19 inci), sistem suspensi sport, stereng ‘flat bottom’, jahitan kontras berwarna merah, pedal aloi, paddle shifter aluminium dan bumbung hitam.
Bagi enjin pula, Puma didatangkan dengan gabungan
enjin EcoBoost 1.0-liter tiga silinder dengan
sistem mild-hybrid 48V. Ia boleh didapati dalam versi
125PS dan
155PS, kedua-duanya dengan tahap penggunaan bahan api 5.4l/100km. Versi diesel dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan akan ditawarkan kemudian.
Selain ciri-ciri sedia ada seperti Active Cruise Control, Automatic Emergency Braking dan Lane Keep Assist, Puma turut dilengkapi dengan sistem CoPilot360 yang membolehkan ia beroperasi secara separa autonomi dalam keadaan tertentu seperti kesesakan lalu lintas.