Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Ford Mustang Mach-E Ini Mempunyai 1,400hp, Bukti Kemampuan Kenderaan Elektrik Sebenar!

Erywan 23/07/2020 | 02:19 MYT

Kira-kira tiga bulan selepas memperkenalkan Mustang Cobra Jet 1400, Ford kini kembali dengan satu lagi jentera elektrik yang mempunyai 1,400hp iaitu Mustang Mach-E 1400.

Dibangunkan dengan kerjasama RTR Vehicles dengan mengambil masa 10,000 jam, Mustang Mach-E 1400 adalah sebuah model prototaip yang dihasilkan untuk menunjukkan potensi dan kemampuan sebenar kenderaan elektrik.
Jika Mustang Mach-E standard mempunyai dua motor elektrik, versi berkuasa tinggi ini dijana oleh tujuh motor elektrik. Tiga unit daripanya diletakkan pada gandar hadapan manakala empat diletakkan pada gandar belakang secara bertindih.
Setiap gandar dilengkapi dengan ‘differential’ yang berfungsi untuk menentukan jumlah tork yang disalurkan setiap roda. ‘Differential’ terbabit boleh ditala untuk tujuan yang berbeza seperti ‘drift’ atau untuk berlumba di litar. Ia juga boleh diubah dari pacuan roda hadapan, roda belakang atau semua roda.
Kuasa elektrik untuk semua motor elektrik itu dibekalkan oleh pek bateri berkapasiti 56.8kWh yang mengandungi sel-sel nikel mangan kobalt (nickel manganese cobalt) yang dikatakan mempunyai kadar discaj yang tinggi. Sistem brek janaan semula disertakan untuk membantu mendapatkan jarak pemanduan yang lebih tinggi.
Selain itu, Ford dan RTR turut menggunakan sistem brek daripada jentera lumba Mustang GT4 dan brek tangan hidraulik yang direka khas untuk ‘drift’. Badan asal Mustang Mach-E telah dinaik taraf dengan sangkar keselamatan, hud gentian komposit serta aerodinamik yang boleh menghasilkan 1,044kg ‘downforce’ pada kelajuan 256km/j.

#Mustang #Ford
;