Antarabangsa

Ford Puma ST, Crossover Pertama Memakai Lencana Istimewa Itu

Erywan
09/10/2020
01:52 MYT
Sponsor Banner
Ford Puma ST, Crossover Pertama Memakai Lencana Istimewa Itu
Ford secara rasminya memperkenalkan Puma ST, iaitu crossover pertamanya yang memakai lencana istimewa itu. Ia akan dijual di pasaran Eropah bersama dengan model ST yang lain iaitu Focus dan Fiesta.
Seperti Fiesta ST, model ini dikuasakan oleh enjin turbo 1.5-liter tiga silinder EcoBoost yang menjana 200PS pada 6,000 rpm dan 320Nm dari 2,500 hingga 3,500 rpm. Penggunaan transmisi manual enam kelajuan membolehkan ia melakukan pecutan 0-100km/j dalam 6.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 220km/j.
Sebagai perbandingan, Fiesta ST memerlukan 6.5 saat untuk melakukan pecutan terbabit dan boleh memecut sehingga 232km/j.
Selain enjin yang lebih berkuasa, Puma ST turut mendapat penambah baikan casis yang menyaksikan suspensi belakang menjadi 40 peratus lebih tegar berbanding Fiesta ST atau 50 peratus lebih tegar berbanding Puma biasa. ‘Anti-roll bar’ dipasang pada bahagian hadapan dan belakang untuk meningkatkan kestabilan.
Bukan itu sahaja, jurutera Ford turut menala semula sistem stereng bagi menjadikannya 25 peratus lebih pantas, manakala cakera brek hadapan adalah lebih besar untuk prestasi brek yang lebih meyakinkan. Turut disertakan adalah sistem ekzos ‘free-flow’ dan mod pemanduan Normal, Sport, Track dan Eco. Sebagai tambahan, pelanggan boleh mendapatkan Limited-Slip Differential mekanikal yang boleh memberikan tahap cengkaman yang lebih tinggi.
Karakter sporty Puma ST diserlahkan menerusi jeriji eksklusif ST, splitter hadapan, spoiler bumbung pada bahagian belakang serta rim aloi berukuran 19 inci yang boleh didapati dalam kemasan Magnetite. Ford menawarkan enam pilihan warna iaitu Agate Black, Desert Island Blue, Fantastic Red, Frozen White, Magnetic dan Mean Green.
Di dalam, terdapat tempat duduk Recaro yang dibalut material Miko Dinamica, stereng ‘flat bottom’ dan tombol gear unik ST. Apabila pintu dibuka, logo ST akan dipancarkan ke lantai bagi menunjukkan bahawa ia bukan calang-calang model.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024