Tempatan
Ford Ranger Kini Tawar Waranti 5 Tahun
Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal jenama Ford di Malaysia memperkenalkan waranti pengeluar 5 tahun atau 160,000km bagi barisan Ranger keluaran 2021 ke atas.
Ia adalah tambahan dua tahun untuk waranti pengeluaran 3 tahun yang ditawarkan sebelum ini sekali gus memberikan nilai tambah yang lebih baik kepada para pemilik Ranger.
Selain itu, dua Pelan Waranti Lanjutan (Extended Warranty Plan) untuk pemilik Ford Ranger sedia ada turut diperkenalkan.
Ketua Bahagian Jualan Sime Darby Auto ConneXion, Turse Zuhair berkata, pihaknya faham bagi pemilik Ford Ranger, kenderaan mereka bukan sekadar mod pengangkutan.
“Ford Ranger adalah penambahan kepada gaya hidup mereka sama ada untuk kerja dan bersantai, selain sebagai pengangkutan untuk keluarga yang tersayang.
“Dengan waranti pengeluar selama 5 tahun untuk barisan Ranger, kami mahu memberikan nilai tambahan kepada pelanggan semasa mereka meneruskan pengembaraan kehidupan,” katanya.
Selain itu, pemilik Ford Ranger sedia ada yang masih memiliki waranti 3 tahun mempunyai pilihan untuk membeli Pelan Waranti Lanjutan (Extended Warranty Plan) dikenali sebagai PremiumCARE dan PowertrainCARE di mana-mana Pusat Servis Ford yang sah.
Pelan PremiumCARE menawarkan perlindungan menyeluruh selama dua tahun untuk lebih daripada 1,000 komponen, manakala pelan PowertrainCARE menawarkan waranti lanjutan selama dua tahun bagi enjin, transmisi dan drivetrain.
Untuk maklumat lebih lanjut bagi Waranti 5 Tahun dan Pelan Waranti Lanjutan (Extended Warranty Plan) anda boleh layari www.sdacford.com.my