Tempatan
G&B Design Bikin G-Boss Ala Bumblebee
Jika Bumblebee dalam filem Transformers mahu bertukar model kereta sedan kepada SUV, G-Boss ini mungkin boleh menjadi inspirasinya.
Kit badan G-Boss ini sesuai untuk model Mercedes-Benz G-Class W463 dan ia produk kit badan terbaharu yang dihasilkan oleh G&B Design dari Jerman.
Rekaan itu tampak menyerlah dengan penggunaan kit badan lebar, selain dipadankan warna luaran yang unik.
Ubah suai dilakukan lebih tertumpu kepada kepada bentuk bonet dan bampar hadapan yang labuh berbanding versi standard. Jeriji hadapan turut menjalani sedikit perubahan serta perumah lampu hadapan bahagian dalam warna gelap.
Sisinya, ia turut dipadankan skirt tepi tambahan dengan penggunaan diffuser pada bampar belakang. Pada pintu but belakang, pelindung tempat penyimpan tayar simpanan diperbuat daripada material gentian karbon.
Bagi membuatkan tampak berbeza, G-Boss ini dilengkapi spoiler hujung bumbung belakang, sekali gus membuatkan nampak sporty.
Ruang kabin, tempat duduk dan panel pintu menerima kemasan jahitan kuning serta warna sama turut digunakan untuk menceriakan pada konsul tengah dengan kombinasi material gentian karbon.
Pada bahagian bumbung dalam, ia mempunyai lampu LED kecil dengan nampak seperti bintang serta turut disusun untuk perkataan G-Boss. Harganya, kit badan G-Boss itu bermula € 11,390 (RM55,781).
Sumber: www.gnb-design.com