Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Tempatan

Generasi Ketiga Isuzu D-Max Bakal Tiba Hujung April ini, Tempahan Dibuka Harga bermula RM89,000 hingga RM145,000

Erywan 01/04/2021 | 03:13 MYT

Generasi ketiga, Isuzu D-Max serba baru yang dinanti-nantikan akhirnya bakal membuat penampilan sulung di Malaysia dalam bulan April ini, jauh lebih awal berbanding jangkaan asal pengenalannya pada 2022.

Kini, Isuzu Malaysia Sdn Bhd mengumumkan tempahan pra-pelancaran bagi model terbaru berkenaan mula dibuka hari ini di semua pengedar Isuzu seluruh negara.
Ketua Pegawai Operasi, Bahagian Kenderaan Dagang Ringan Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki berkata pengenalan lebih awal itu boleh dilakukan hasil kerjasama Isuzu Motors Ltd yang melihat Malaysia sebagai sebuah pasaran strategik untuk jenama terbabit.
"Kami sangat gembira Isuzu D-Max serba baru ini dapat diperkenalkan lebih awal daripada jangkaan untuk pasaran Malaysia.
Sebagai negara kelima di dunia yang melancarkan model ini selepas pengenalan sulungnya di Thailand, ia menjadi bukti komitmen oleh Isuzu Motors untuk memastikan pasaran Malaysia menerima pilihan kenderaan Isuzu yang terkini," katanya.
Isuzu D-Max serba baru dibangunkan secara menyeluruh untuk melangkaui kebiasaan yang ditawarkan pada trak pikap dengan menambah sisi emosi kepada perwatakan dan keupayaan yang sedia ada padanya. Direka untuk jadi lebih menonjol dan sporty, Isuzu D-Max menampilkan imej jalanan lebih kental, dengan wajah depan maskulin serta garis badan yang berperanan menjadikan imejnya makin dinamik dan tegap.
Dengan ukuran dimensi keseluruhan lebih besar termasuk jarak antara roda yang lebih panjang, kabin lebih luas serta ruang kargo lebih besar, Isuzu D-Max serba baru memberikan keselesaan, ruang dan kepelbagaian penggunaan keseluruhan yang lebih baik, menjadikannya trak yang sarat dengan kebolehan.
Datang dalam beberapa konfigurasi termasuk single cab atau double cab serta dua pilihan enjin — RZ-4E 1.9 liter atau 4JJ-3TCX 3 liter yang dipertingkatkan.
Memperolehi penarafan maksimum lima-bintang bagi ASEAN NCAP 2020, trak pikap terbaru Isuzu menawarkan tahap keselamatan baru untuk perlindungan yang lebih baik daripada sebelumnya untuk penumpang. Turut membantu pemandu adalah ciri Advanced Driver Assist Systems (ADAS) yang ditawarkan bagi varian terpilih.
Isuzu D-Max serba baru akan diperkenalkan pada penghujung April 2021 dan dianggarkan dijual pada harga antara RM89,000 hingga RM145,000 bergantung kepada model dan tertakluk kepada kelulusan kerajaan.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Isuzu D-Max serba baru atau menjadi antara yang bertuah menerima serahan terawal bagi trak pikap menarik ini, layari laman Facebook Isuzu D-Max di https://www.facebook.com/ISUZU.DMax.Malaysia/

#Isuzu
;