Antarabangsa
Genesis G80 - Sedan Paling Mewah Buatan Korea Selatan
Sedan-sedan terkemuka dunia seperti BMW 5 Series, Mercedes-Benz E-Class dan Audi A6 bakal menerima saingan baharu dari Korea iaitu Genesis G80.
Ini adalah model generasi ketiga berikutan Hyundai Genesis generasi pertama dan kedua yang diperkenalkan pada 2008 dan 2013. Jika anda masih ingat, Genesis dilancarkan sebagai sub-jenama tersendiri pada November 2015.
Berbalik kepada G80, sedan mewah ini direka berdasarkan bahasa reka bentuk ‘Athletic Elegance’ dengan muka hadapan yang hampir sama dengan model SUV GV80 yang muncul pada awal tahun ini.
Masuk ke bahagian dalam, gabungan bahan-bahan mewah seperti upholsteri kulit dan kemasan kayu melahirkan suasana yang mewah dan bergaya. Pemandu mempunyai paparan ‘head up’ dan kluster instrumen 12.3 inci dengan paparan 3D yang berfungsi untuk memudahkan pemanduan.
Sementara itu pada bahagian papan pemuka pula terdapat sistem infotainmen dengan skrin berukuran 14.5 inci dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem ini boleh dikawal menerusi pad sentuh-dan-tulis (touch-and-write) yang terletak pada konsol tengah bersama-sama dengan butang kawalan sistem pendingin hawa dan tombol untuk menukar gear.
G80 ditawarkan dengan dua pilihan ‘nadi’ turbo petrol iaitu enjin 2.5 liter empat silinder dengan 304PS dan 421Nm, dan enjin 3.5 liter V6 yang menghasilkan 380PS dan 530Nm. Turut ditawarkan adalah enjin diesel 2.2-liter empat silinder dengan 210PS dan 441Nm.
Menurut Genesis, penggunaan aluminium sebanyak 19 peratus pada casis membolehkan syarikat itu mengurangkan berat sehingga 110kg berbanding model terdahulu. Selain aspek NVH yang dipertingkatkan, model ini turut dilengkapi dengan sistem suspensi elektronik yang boleh mengurangkan impak dengan menggunakan data yang diperoleh daripada kamera hadapan.
Dari segi keselamatan, G80 didatangkan dengan 10 beg udara, serta sistem bantuan pemandu canggih seperti Highway Driving Assist II (HDA II), Smart Cruise Control with Machine Learning (SCC-ML), Forward Collision Avoidance (FCA) dan Blind-Spot Collision Avoidance Assist (BCA).