Antarabangsa

Hanya guna marker pen dan cat tin, tetapi hasilnya cukup menakjubkan!

Erywan
30/08/2019
08:20 MYT
Sponsor Banner
Hanya guna marker pen dan cat tin, tetapi hasilnya cukup menakjubkan!
Gabungan corak batik dengan bendera Malaysia yang dihasilkan melalui teknik semburan cat tin dan marker pen pada motosikal melayakkan dua rakan dari Perak terpilih menjadi Johan dalam International Samurai Spray Competition di Pasir Gudang, Johor , baru-baru ini.
Lebih manis apabila mereka turut dipilih mewakili Malaysia dalam Samurai World Party 2019 di Indonesia pada 21 dan 22 September. Mereka bakal bersaing dengan peserta daripada enam negara lain termasuk Thailand dan Indonesia.
Mohamad Azizul Ismail, 31, dari Bagan Serai berkata, sebelum terpilih mewakili Malaysia, terdahulu dia dan rakannya, Mohamad Alwi Ismail, 30, dari Taiping, melalui dua peringkat saringan iaitu peringak zon dan wilayah.
Katanya, pada peringkat saringan itu, dia dan rakannya turut memenangi tempat pertama hasil kreativiti dengan menggabungkan teknik sama pada tema yang ditetapkan.
Menurutnya, hasil kerjasama pasukan serta memanfaatkan seni corak batik yang dipelajari ketika menuntut di Institut Kraf Negara dalam jurusan Diploma Senikraf Batik pada 2010, menjadikan karya mereka lain dari lain sekali gus menarik perhatian juri.
"Pada peringkat Zon, saya menggabungkan teknik lukisan batik dengan ikan koi dan corak batik itu saya lukis dengan tangan menggunakan pen khas yang kemudiannya dicat menggunakan candy spray.
"Peringkat Wilayah pula, kami membahagikan tugasan masing-masing dan ternyata hasil gabungan itu membuatkan juru tertarik dengan ciptaan yang dihasilkan.
"Pada peringkat Terbuka, juri menetapkan tema bendera kebangsaan dan kami tidak menjangka gabungan lukisan batik pada tema yang ditetapkan sekali lagi menarik perhatian juri sebelum dinobatkan juara," katanya.
Menurutnya, kejayaan itu melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM 1,500 sekali gus mewakili Malaysia ke peringkat dunia.
Mohammad Azizul yang juga seorang jurufoto perkahwinan berazam untuk menerapkan unsur batik dan bendera kebangsaan pada pertandingan di Indonesia nanti.
"Warna atau bendera kebangsaan tetap menjadi pilihan saya dan kali ini saya akan cuba menggabungkan beberapa elemen lain seperti burung enggang, bunga raya atau bangunan berkembar KLCC yang boleh melihatkan Malaysia di dalam karya kami nanti," katanya.
Kejayaan Mohamad Azizul turut membanggakan banyak pihak termasuk Parlimen Bagan Serai yang turut berbangga dengan pencapaiannya serta menyumbangkan sedikit saguhati sempena kejayaannya untuk mewakili Malaysia nanti.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar