Tempatan
Helmet Edisi Terhad Rossi, AGV Pista GP RR Laguna Seca 2005
Buat peminat tegar Valentino Rossi berita ini pasti buat anda gembira kerana pengeluar helmet terkenal AGV memperkenalkan warna seragam baharu edisi terhad pada model AGV Pista GP RR. Seharusnya AGV mengeluarkan helmet terbaharu MotoGP, namun pengeluar terbabit memberi kejutan menerusi produk Edisi Terhad AGV Pista GP RR Laguna Seca 2005 yang dipakai The Doctor pada GP Laguna (2005).
Pengenalan warna seragam itu khas buat peminat The Doctor dan mengingati semula nostalgia kejayaan Rossi ketika itu. Pengeluaran terhad sebanyak 2005 unit mewakili tahun peristiwa bersejarah Rossi bergelar juara GP Amerika dan merangkul juara dunia.
Seperti mana kita tahu, Rossi sentiasa menggunakan imej matahari dan bulan pada setiap helmet lumba miliknya yang menjadi ciri khas grafik helmet pelumba senior itu. Selain menggunakan rekaan signatur berkenaan, AGV turut menggunakan material gentian karbon sepenuhnya yang menyumbang kepada helmet lebih ringan di samping memberi perlindungan tambahan walaupun dalam situasi ekstrem.
Helmet itu juga lulus homologasi FIM dan didatangkan dengan beberapa aksesori antaranya plug telinga dan Sistem Penghidratan yang berfungsi menjaga agar penunggang tidak dehidrasi dengan meletakkan sistem saluran air di dalam helmet.
Padanan visor gelap menjadikan penampilan helmet lebih elegan selain bahagian dalam yang boleh ditanggalkan memudahkan pemilik mencuci. AGV Pista GP RR Laguna Seca 2005 yang menggabungkan warna kuning dan hitam sebenarnya terinspirasi dari pelumba Kenny Roberts yang mana pada tahun 1970 hingga 1980-an menggunakan warna yang sama pada motosikal MotoGP miliknya.
Lebih menarik setiap helmet akan dibekalkan dengan surat yang ditulis oleh Valentino Rossi dan isi kandungan surat terbabit pelumba Yamaha SRT berkenaan menjelaskan idea di sebalik grafik helmet miliknya. Harga jualan helmet berkenaan ialah USD1,699 (RM6,979).