Antarabangsa

Hennessey cipta Jeep Gladiator dengan output cecah 4 angka

Erywan
04/11/2019
02:37 MYT
Sponsor Banner
Hennessey cipta Jeep Gladiator dengan output cecah 4 angka
Mengubahsuai kenderaan standard menjadi jentera yang gila-gila sudah menjadi kebiasaan bagi Hennessey Performance Engineering (HPE).
Bagi pertunjukan SEMA tahun ini, syarikat talaan dari Texas itu bakal mencuri tumpuan orang ramai dengan mempamerkan sebuah Jeep Gladiator dengan kuasa kuda yang mencecah empat angka.
Dikenali sebagai Maximus Gladiator, trak ini mempunyai ‘nadi’ yang berbisa iaitu enjin supercharged 6.2 liter V8 yang diambil daripada barisan model Dodge Hellcat.
Bagaimanapun, dengan tambahan ECU, radiator serta sistem ekzos baharu, kuasa yang dihamburkan melonjak daripada 707hp kepada 1,000hp, manakala tork dicatatkan pada 1,264Nm. Keseluruhan output ini disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik lapan kelajuan.
Walaupun sebuah trak pikap dengan tayar off-road, Maximus Gladiator mempamerkan prestasi yang setanding dengan supercar dengan pecutan 0 hingga 100km/j dilakukan dalam hanya 3.9 saat.
Hennessey turut mempertingkatkan sistem suspensi dengan memberikan jentera ini ‘lift kit’ enam inci keluaran King. Driveshaft tugas berat dan Differential Dana 60 pada kedua-dua gandar disertakan sekali.
Dari segi penampilan, Maximus Gladiator tampil lebih agresif dengan bampar hadapan dan belakang baharu, serta rim aluminium 20 inci yang dibalut tayar off-road BFG KD. Ruang kabin pula dijadikan lebih mewah menerusi kehadiran upholsteri kulit berserta sulaman logo pada tempat duduk.
Seperti produk talaan Hennessey yang lain, Maximus Gladiator bukanlah sesuatu yang boleh dipanggil sebagai mampu milik dengan harga bermula dari $225,000 (RM940,162). Bagaimanapun, syarikat itu akan menghasilkan 24 unit sahaja dan setiap unit mengambil masa kira-kira empat bulan untuk disiapkan.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar