Tempatan

Honda City Edisi Istimewa – Tawar 4 ciri tambahan baharu dijual bermula RM75,955

Erywan
29/08/2019
07:11 MYT
Sponsor Banner
Honda City Edisi Istimewa – Tawar 4 ciri tambahan baharu dijual bermula RM75,955
Honda Malaysia menambah ciri-ciri baharu bagi model Honda City dengan pengenalan versi Edisi Istimewa.
Model berkenaan hadir dua pilihan warna membabitkan White Orchid Pearl dan Passion Red Pearl. Ia kini ditawarkan ciri-ciri yang memudahkan pelanggan seperti Perakam Video Digital (DVR), Pembaca Tol Binaan Dalam, Visor Pintu dan Trunk Organiser.
DVR itu memberi ketenangan minda kepada pemandu dengan berfungsi sebagai ciri keselamatan untuk merekod sepanjang perjalanan sama ada pandangan hadapan serta belakang.
Pembaca Tol Binaan Dalam pula bersambung dengan kuasa daripada kereta, yang mana tidak perlu menukar bateri seperti pembaca tol biasa, selain ia juga memberi kemudahan pemandu ketika melalui palang tol.
Bagi penampilan luarannya, Edisi Istimewa turut dilengkapi dengan Visor Pintu yang memiliki rekaan aerodinamik. Ia berfungsi untuk menghalang air hujan memasuki ruang kabin ketika tingkap sedikit turun bagi kemasukan udara segar.
Trunk Organiser adalah bekas yang terbahagi kepada beberapa ruang untuk memudahkan meletak barangan dengan tersusun.
Bahagian teknikalnya, ia masih menggunakan enjin 1.5L i-VTEC dengan padanan transmisi CVT yang dibangunkan dibawah Teknologi Earth Dreams. Kelebihan rangkaian kuasa itu memberi keseimbangan dari segi prestasi serta kecekapan penggunaan bahan api.
Pada masa sama, Honda City memiliki ruang but paling besar dalam kelasnya dengan kapasiti 536 liter, sekali gus sesuai untuk mereka yang sudah berkeluarga.
Sementara itu, Honda City adalah penyumbang terbesar bagi jualan Honda Malaysia dengan 34 peratus dan kekal sebagai posisi No.1 dalam segmennya dalam tempoh antara Januari sehingga Julai 2019.
Negeri yang terletak di kawasan tengah Malaysia mencatatkan 50 peratus, manakala 20 peratus bagi Selatan dan diikuti 19 peratus kawasan utara tanah air.
Harga Honda City Edisi Istimewa dengan warna Passion Red Pearl dan White Orchid Pearl masing-masing dijual pada harga RM75,955 serta RM76,075.
Selain itu, ini ciri keselamatan yang ada pada Honda City Edisi Istimewa:
  • Sistem Brek Anti-kunci (ABS)
  • Brake Assist (BA)
  • Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA)
  • Bantuan Memula Mendaki Hill Start Assist (HSA)
  • Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS)
  • Agihan Brek Elektronik (EBD)
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar