Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Pandu Uji

Honda Civic Facelift, Banyak Jajan Baharu Dengan Harga Kompetitif

Erywan 10/09/2020 | 08:29 MYT

Kalau sebut nama Honda Civic, boleh kata semua kenal dengan model sedan segmen C itu.

Di Malaysia, Civic sudah pun memasuki model generasi ke-10 selepas dilancarkan pada 2016. Namun, selepas empat tahun kini hadir pula Civic dengan versi dipertingkatkan (facelift) yang dilancarkan baru-baru ini.
Bagi model dipertingkatkan ini, ia bukan sahaja tampil dengan rekaan lebih segar, tetapi turut dilengkapi teknologi termaju jenama berkenaan seperti Honda Sensing.
Bagi ruangan pandu uji ini, Civic yang diberikan kepada penulis adalah varian spesifikasi paling tinggi iaitu Civic 1.5TC-P dan harganya pula dijual bermula RM134,661 (tidak termasuk insuran dan cukai jalan).
Reka Bentuk Lebih Segar
Seperti model facelift yang lain, reka bentuknya adalah sama cuma komestik luaran dan dalaman sahaja yang diberi sedikit pembaharuan.
Bagi Civic ini, ia ditawarkan dengan bampar hadapan baharu bersama gril hitam yang tampak lebih bergaya. Tidak ketinggalan juga kemasan bampar dan spoiler belakang yang baharu pada bahagian belakang Honda Civic baharu ini.
Bagi melengkapkan karakter penampilan yang dinamik, rendah dan lebar, penggunaan rim aloi hitam bersaiz 18-inci diberikan kepada Civic baharu.

Kena pula dengan warna merah gelap, Civic ini nampak menyerlah dengan kombinasi hitam jeriji baharu itu. Biarpun pembaharuan yang minimal, tetapi ia memberi karakter sangat bergaya!

Ruang Dalaman Dengan Paparan Kamera LaneWatch Honda
Bahagian dalaman, boleh dikatakan semua sama dengan model terdahulu. Bagi mereka yang mempunyai Civic, keluasan bagi kelegaan kaki untuk penumpang hadapan atau belakang sebenar sudah cukup baik dan selesa. Bagi Civic varian ini, ia didatangkan tempat duduk kulit dengan kemasan baharu.
Apa yang paling menarik sepanjang pandu uji ini, sistem infotaimennya memaparkan pandangan bahagian sisi kiri untuk memudahkan memasuki simpang dengan selamat lebih-lebih lagi jika ada motosikal.
Ciri itu adalah LaneWatch Honda untuk memberi pandangan yang lebih jelas bagi kawasan titik buta dan ia sebelum ini hanya ada pada model Honda Accord dan CR-V sahaja.
Prestasi Dan Pengendalian
Seperti model sebelum ini, tiada apa-apa perubahan yang dilakukan pada enjin Civic facelift itu. Prestasi bagi enjin 1.5L VTEC Turbocharged yang digunakan sebenarnya sudah cukup ‘sedap’ untuk memotong kenderaan lain atau memecut di lebuh raya.
Penulis boleh rasakan, sebaik menekan padel minyaknya responsifnya bertindak balas dengan cepat pada awal permulaan perjalanan.
Prestasi enjin berkapasiti kecil ini, ia mampu menghasilkan output 173PS dan tork 220Nm yang mana prestasi itu menyamai seperti rangkaian kuasa berkapasiti 2.4 liter.
Dari segi pengendalian, ada sedikit perbezaan berbanding dengan versi sebelumnya. Ini kerana pengendaliannya lebih tajam dan ini mungkin disebabkan penggunaan tayar dan rim 18 inci dengan rekaan baharunya.
Ciri Keselamatan Dan Teknologi Terkini
Ini adalah perkara baharu buat Civic facelift apabila dipadankan dengan teknologi Honda Sensing. Ia hadir dengan ciri Adaptive Cruise Control (ACC), Low Speed Follow (LSF), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).
Pada masa sama, ia ditawarkan dengan ciri keselamatan standard membabitkan enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan, ABS, Pengagihan Brek Elektronik, Bantuan Brek, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Mula Mendaki (HAS), Camera undur pelbagai sudut dan Isofix tempat duduk kanak-kanak.
Selain itu, Civic facelift ini hadir dengan teknologi yang memudahkan penggunanya. Ia termasuk Kawalan Jauh Menghidup Enjin dan Brek Parkir Elektrik sebagai ciri standard, selain ciri baharu yang akan dipadankan adalah sensor hadapan.

Dengan pakej baharu yang ditawarkan itu, Civic facelift ini sebenarnya sebuah sedan segmen C yang berbaloi untuk dimiliki dan pasti memuaskan hati pemiliknya.

;