Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Honda CRF1100L Africa Twin 2020, kuasa maksimum naik 7 peratus

Erywan 25/09/2019 | 02:27 MYT
Honda Africa Twin model tahun 2020 didedahkan secara rasmi dimana namanya CRF1000L digantikan dengan CRF1100L bagi menandakan kehadiran enjin baharu yang lebih besar.
Seperti sebelum ini, Africa Twin ditawarkan dalam versi asas dan Adventure Sports yang dibangunkan khas untuk tunggangan jarak jauh.
Dijangka memasuki pasaran Eropah bermula tahun ini, Africa Twin kini tampil dengan enjin silinder kembar sebaris bersesaran 1,084cc yang menggantikan unit 998cc pada model terdahulu.
Penggunaan komponen baharu seperti injap lift, lengan silinder aluminium dan kawalan injap ekzos menghasilkan janaan kuasa yang lebih tinggi iaitu 100hp (naik 7 peratus) pada 7,500rpm dan 105Nm (naik 6 peratus) pada 6,250rpm. Walaupun lebih berkuasa, enjin baharu ini mematuhi piawaian emisi Euro 5 yang ketat.
Enjin itu dipadankan sama ada dengan transmisi manual enam kelajuan atau transmisi automatik klac berkembar. Menurut Honda, kedua-duanya ditambah baik untuk penukaran gear yang lebih semula jadi.
Penambahbaikan yang lain termasuklah sub-rangka aluminium dan lengan ayun aluminium yang lebih tegar. Lengan ayun terbabit direka berdasarkan lengan ayun yang terdapat pada model CRF450R.
Dari segi elektronik, Africa Twin mendapat paparan sentuh TFT berukuran 6.5 inci yang lebih mudah digunakan dan lebih jelas untuk dibaca walaupun di bawah sinaran matahari.
Turut disertakan adalah ciri Apple CarPlay yang membolehkan penunggang menggunakan navigasi, membuat panggilan, menerima mesej atau memainkan lagu menerusi aplikasi pada telefon mereka.
Secara mudahnya, versi asas memfokuskan kepada tunggangan off-road. Ia dilengkapi dengan tangki minyak lebih kecil, pelana langsing dan cermin penghadang angin yang pendek.
Berlainan pula dengan versi Adventure Sports yang dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan tambahan untuk pengembaraan jarak jauh seperti tangki minyak berkapasiti 24.8l, cermin penghadang angin boleh laras, pemanas bar hendal, suspensi elektronik Showa, skid plate dan sebagainya.
#honda #Drebar #Twin #Africa
;