Antarabangsa
Honda HR-V 2021 Tampil Ciri Baharu Serta Penambahan Kelengkapan Infotainmen, Harga Kekal Sama
Honda Malaysia memperkenalkan SUV segmen B popularnya, HR-V dengan ciri yang dipertingkatkan dengan diberikan ciri baharu serta penambahan pada kelengkapan infotainmen.
Bagi memberi pilihan, HR-V itu turut ditawarkan dengan warna baharu iaitu Platinum White Pearl dan semua varian kini dilengkapi dengan paparan audio bersaiz tujuh inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Dua port USB juga ditambah di konsol tengah untuk lebih kemudahan.
Sementara itu, varian HR-V Sport Hybrid Intelligent Dual-Clutch Drive (i-DCD) hadir dengan karakter lebih segar dengan lampu depan dan belakang serta lampu kabus LED.
Ia juga dilengkapi dengan pemegang hendal pintu krom baharu, dan roda stereng kulit tiga batang untuk memberi rasa pemanduan yang sporty.
Barisan varian HR-V masih kekal seperti sebelum ini, dengan E, V, RS dan Sport Hybrid i-DCD. Rangkaian kuasanya masih tidak berubah dengan HR-V varian E, V dan RS dikuasakan oleh 1.8-liter SOHC i-VTEC dengan 142PS dan 172Nm tork. Transmisi ialah CVT Earth Dreams. HR-V RS juga mendapat sistem stereng Variable Gear Ratio (VGR) untuk pemanduan lebih responsif.
Sementara HR-V Sport Hybrid i-DCD pula, ia dijana enjin 1.5-liter DOCH i-VTEC suntikan terus bahan api yang digabungkan dengan High Power Motor dan transmisi dwi-klac 7-kelajuan.
Tenaga yang dihasilkan mencecah 132hp dan 156Nm tork, tetapi jumlah keseluruhan dengan motor elektrik adalah 152hp dan 190Nm tork.
Honda HR-V juga mempunyai ciri lain termasuklah kamera undur pelbagai sudut pandangan, Cruise Control, Paddle Shift, tempat duduk kulit berkuasa, dan Honda LaneWatch.
Dari segi ciri keselamatan, SUV itu mempunyai ciri yang terbaik dalam segmennya merangkumi enam beg udara, Emergency Stop Signal (ESS), Automatic Brake Hold (ABH), Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA) dan Rear Seat ISOFIX.
Harga juga dikekalkan, iaitu dari RM104,000.21 untuk E, RM113,421.92 (varian V) sehingga RM118,581.81 untuk RS. Bagaimanapun, harga varian Sport Hybrid akan diumumkan kemudian.