Antarabangsa
Honda kembalikan nostalgia jentera era 1990-an di TAS 2020
Honda memberi sedikit kelaian sempena acara Tokyo Auto Salon 2020 yang bakal berlangsung pada bulan Januari ini dengan mempertontonkan beberapa model lamanya.
Bagi model pertama, syarikat itu menaikkan semula model Honda Civic Type R menerusi model EK9 yang diberi nama Honda Civic Cyber Night Japan Cruiser 2020.
Jentera yang popular pada hujung 1990-an itu kembali dengan imej moden serta turut menerima beberapa pembaharuan dari segi kosmetiknya.
Beberapa komponen kit badan asal ditukar membabitkan bampar, lampu utama, rim earo dan spoiler bumbung belakang untuk membuatkannya lebih menarik serta agresif.
Pada masa sama, Honda turut mempamerkan S2000 20th Anniversary Prototype. Buat pengetahuan anda, Honda S2000 mula diperkenalkan kepada umum pada tahun 1999 dengan enjin F20C pacuan belakang yang menjadi kereta sport unik bagi jenama berkenaan ketika itu.
Sehingga kini, jentera itu masih lagi mempunyai nilai tersendiri terutama peminat JDM di Malaysia atau luar negara.
Apa perubahan bagi S2000 20th Anniversary Prototype adalah bumper hadapan, lampu utama dengan ruang dalaman hitam, rangka cermin hadapan, cermin sisi dan roda aloi. Malah, sistem suspensi turut dinaik taraf semula dan dipadankan tempat duduk bucket.
Selain dua model berprestasi, Honda bakal mempamerkan Honda Step Wgn kustom yang mana ruang dalaman diubah suai untuk memudahkan penggunanya.
Dengan lantai yang mendatar, ia memudahkan pengguna untuk mengisi barang ke dalam ruang kabin serta mempunyai kerusi boleh diubah serta mempunyai roda. Berdasarkan gambar yang disiarkan, jentera itu boleh diisi dengan kerusi roda serta boleh memuatkan motosikal.
Dan yang terakhir, adalah Aibou sebuah kenderaan untuk kanak-kanak yang seakan-akan kereta tolak bayi.