Tempatan
Honda Mahu Jadi Jenama Syarikat EV Penuh Menjelang 2040
Honda sudah mengumumkan rancangan untuk menjadi jenama automotif elektrik penuh (EV) menjelang 2040 dan merealisasikan misi sifat karbon pada 2050. Pengumuman ini suatu detik yang amat penting memandangkan Honda terbabit dalam pengeluaran kereta, motosikal, enjin dan jet untuk pasaran global.
Jika semua berjalan mengikut rancangan, kenderaan Honda akan berkuasa elektrik 100 peratus pada 2040 di kebanyakan negara kerana ada perbezaan garis masa di China, Jepun dan Amerika Utara. Pelan masa hadapan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Honda, Toshihiro Mibe semasa sidang akhbar baru-baru ini.
Perkara itu boleh dijayakan memandangkan Honda sudah menjalin kerjasama strategik dengan General Motors di Amerika Syarikat dan mahu memanfaatkan hubungan itu untuk penghasilan bateri Ultium.
Jika di Jepun, Honda mungkin memberi fokus kepada pembinaan kereta bandar bersaiz kecil seperti Honda e. Selain itu, ada juga projek sistem tukar bateri untuk skuter dan motosikal. Honda juga akan menambah usaha mengkaji kenderaan sel bahan api hidrogen.
Hidrogen ini sebenarnya lebih tertumpu kepada usaha membantu Honda jadi pengeluar bebas karbon pada 2050. Ini bukan hanya pada produk automobil, tetapi membabitkan semua aspek hingga urusan serta fungsi korporat.