Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Hyundai i30 N Facelift, Kuasa Boleh Ditingkatkan Sehingga 280PS Dengan Pakej Performance

Erywan 15/10/2020 | 07:49 MYT

Sekian lama ditunggu-tunggu, Hyundai i30 N versi facelift akhirnya tiba dengan penampilan yang lebih segak dan beberapa kemaskini teknikal yang penting. Ia dijadual memasuki pasaran Eropah bermula awal tahun hadapan.

Di bawah hud, kuasa enjin turbo 2.0-liter empat silinder itu kekal pada tahap 250PS dan 353Nm bagi versi standard. Pakej Performance menjanjikan lebih kepuasan dengan 280PS dan 392Nm, iaitu 5PS dan 39Nm lebih tinggi berbanding sebelum ini. Peningkatkan kuasa ini membolehkan i30 N mengurangkan masa pecutan 0-100km/j dari 6.1 kepada 5.9 saat.
Model ini kini boleh didapati dengan transmisi klac berkembar (DCT) lapan kelajuan yang turut digunakan pada Veloster N 2021. Transmisi manual enam kelajuan masih lagi ditawarkan bagi mereka yang lebih gemar menukar gear sendiri.
Dari segi reka bentuk, i30 N facelift menampilkan gril trapezoid versi terbaharu, lubang ambilan udara dengan rekaan yang lebih bersegi serta sirip sisi yang boleh mengurangkan pergolakan udara. Lampu utamanya kini mempunyai lampu nyalaan siang berbentuk V.
Di bahagian belakang pula terdapat spoiler bumbung yang lebih besar dan lampu yang sudah direka semula. Selain itu, muncung ekzos juga mempunyai ukuran diameter yang lebih besar berbanding sebelum ini.
Untuk ruang dalaman, pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan kerusi ringan N (N Light Seats) yang lebih ringan sebanyak 2.2kg. Turut disertakan adalah set pedal logam dan jahitan kontras Performance Blue di segenap ruang kabin termasuk pada tali pinggang keledar. Upholsteri didatangkan dalam warna hitam dan boleh didapati samada dengan material fabrik atau campuran baldu dan kulit.
Selain itu, Hyundai menawarkan pakej Performance yang merangkumi rim tempaan berukuran 19 inci, tayar Pirelli P-Zero dan cakera brek yang lebih besar berukuran 360mm.
Tidak dilupakan adalah ciri keselamatan. Hyundai menambah ciri pengesanan pejalan kaki pada Forward Collision-Avoidance Assist, di samping Lane Following Assist dan Rear-Cross Traffic Avoidance Assist. Varian DCT turut mendapat Blind-Spot Collision-Avoidance Assist.
Hyudai i30N akan mula dipasarkan di Eropah bermula 2021 yang mana harga bakal diumumkan kemudian.

;