Tempatan
Hyundai Santa Cruz - Trak Pikap Imej Moden berasaskan crossover, Tucson
Hyundai baru saja mendedahkan model baharu trak pikap yang dinamakan Santa Cruz (2022). Masih lagi mengekalkan bentuk badan tipikal sebuah kenderaan 4x4 yang berkotak, namun ia digabungkan dengan imej lebih moden berasaskan crossover jenama Korea terbabit.
Penampilan Santa Cruz seperti Tucson yang mana perbezaan hanyalah tambahan dek belakang. Walaupun kedua-duanya memiliki filosofi rekaan sama, namun dari segi dimensi Santa Cruz memiliki jarak roda lebih panjang 9.8 inci dan panjang keseluruhan 195.7 inci.
Hyundai mendakwa trak pikap itu menyerlahkan penggayaan sofistikated, berkuasa dan pilihan tren kuasa lebih cekap di samping lantai kargo belakang yang fleksibel serta platform pacuan semua roda yang sesuai untuk kegunaan urban mahupun lasak.
Walaupun menawarkan pilihan lantai kargo sehingga 52.1 inci sebenarnya angka terbabit lebih pendek berbanding pesaingnya misalnya Nissan Frontier (-7 inci), Toyota Tacoma (-8 inci) dan Honda Ridgeline (-11 inci). Walaupun saiz yang sedikit pendek berbanding pesaingnya Hyundai menjelaskan trak pikap itu lebih mudah dikendalikan sekitar bandar mahupun ketika parkir.
Bagi memastikan keselamatan barang di bahagian belakang Santa Cruz menawarkan penutup pada ruangan kargo serta bahagian simpanan tersembunyi selain aksesori tambahan lantai kargo. Santa Cruz ditawarkan dengan dua pilihan enjin 2.5 liter aspirasi natural (190hp dan tork 244Nm) bersama transmisi lapan kelajuan automatik dan unit pengecas turbo yang menghasilkan kuasa 275hp dan tork 420Nm digabungkan dengan transmisi dual klac bersama padel shift.
Masuk ke kabin tersedia skrin hiburan 10 inci selain pilihan tambahan kluster instrumen 10 inci dan sistem audio Bose. Pihak Hyundai juga menggunakan kerusi kemasan kulit serta menawarkan ruangan simpanan di bawah kerusi.
Segi keselamatan Hyundai menawarkan Sistem Perlanggaran Depan, Bantuan Kekal Lorong, Amaran Perhatian Pemandu, Amaran Titik Buta, Kamera Titik Buta, Safe Exit Assist, Bantuan Pemanduan Lebuh Raya, Monitor Pandangan Keliling dan Amaran Trafik Belakang. Hyundai akan memasang trak pikap itu di kemudahan Alabama yang mana pemasangan bermula Jun dan tempahan dibuka bulan ini di Amerika Syarikat. Penghantaran trak terbabit dijangka bermula musim panas ini.