Tempatan
Imej Paten Honda HR-V Bocor!
Honda akan membuka selubung generasi kedua HR-V pada 18 Februari ini. Bagaimanapun sebelum majlis pelancaran rasminya, imej paten model terbabit bocor atas talian yang memberikan gambaran jelas rekaan akhir produk pengeluaran itu nanti.
Honda HR-V (2021) akan dipasarkan di Jepun terlebih dahulu bulan depan dan dijangkakan bakal diperkenalkan ke pasaran global tahun depan. Penggayaan HR-V adalah campuran reka bentuk baharu dan lama.
Masih lagi tidak jauh berbeza dengan HR-V sebelum, namun kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak berkenaan menampilkan gril yang lebih besar bersama 'hidung' yang sedikit tinggi.
Kemudian lampu depan lebih tirus berbanding model sedia ada. Rekaan bonet bentuk V dipadankan dengan cermin depan yang sedikit menegak. Beralih ke bahagian sisi, HR-V masih lagi mengekalkan ciri rekaan SUV coupe yang mana pemegang pintu belakang tersorok pada tiang C, manakala lampu belakangnya juga lebih nipis dan tajam.
Difahamkan, Honda HR-V generasi baharu ini berkongsi platform dengan Honda Jazz/Fit yang tiada di pasaran Malaysia. Honda akan menawarkan HR-V dengan pilihan enjin 1.0L turbo petrol atau dilengkapi dengan e-HEV mild hibrid.
Sebagai tambahan, kemungkinan enjin 1.5 liter akan disediakan terutama buat pasaran Asean. Honda akan melancarkan HR-V baharu di China terlebih dahulu diikuti pasaran Eropah dan rantau Asean.
Sumber: www.autocarindia.com