Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Ini 9 Ciri Baharu Yang Anda Perlu Tahu Pada Toyota Vios Dan Yaris Facelift

Erywan 17/12/2020 | 12:27 MYT

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) melancarkan Toyota Vios dan Toyota Yaris facelift untuk pasaran tempatan.

Untuk memberikan kemas kini kepada kedua-duanya, tidak hanya perubahan kosmetik dilakukan. Sebagai nilai tambah, banyak ciri dan kelengkapan turut disertakan.

Sama seperti sebelum ini, tiga varian ditawarkan bagi kedua-dua model membabitkan 1.5G, 1.5E dan 1.5J, dengan semuanya dikuasakan oleh enjin Toyota 1.5 liter dengan transmisi automatik tujuh kelajuan CVT.

Ini pembaharuan yang dilakukan terhadap kedua-dua model berkenaan:

1. Rekaan Baharu

Bagi memperbaharui rekaan, Toyota meningkatkan lagi penampilan visualnya dengan rekaan bampar baru yang lebih menonjol dan menampakkan kereta jadi lebih lebar. Apa lebih menarik, lampu utama, lampu kabus dan nyalaan siang menggunakan unit LED.

Rim aloi dalam saiz yang berbeza, bergantung kepada varian, kini tampil dengan rekaan yang lebih sporty.

2. Ruang Dalaman Kekal Elegan

Menampilan paparan meter Optitron bagi semua varian kecuali 1.5J. Meter Optitron ini pertama kali digunakan pada model-model Lexus dan memiliki teknologi pencahayaan yang canggih dengan paparan lebih jelas dan tajam dalam semua keadaan.

Panel instrumen pula terdiri daripada paparan multi-maklumat (MID) dengan warna penuh dalam saiz 4.2-inci menggunakan skrin TFT (Thin Film Transistor).

Kemasan balutan kulit disediakan bagi beberapa varian, menjadikan kabin lebih premium. Tidak ketinggalan ialah stereng dan tombol gear balutan kulit, dengan kawasan sekitar panel instrumen digelapkan untuk penampilan yang lebih elegan.

Bagi varian dengan kemasan balutan fabrik, corak baru digunakan untuk membangkitkan visual kasual dan elegan yang sama.

3. Teknologi Sambungan Kini Lebih Baik

Teknologi sambungan dinaik taraf dengan paparan sistem audio 7-inci dengan disertakan sekali kesediaan sambungan Apple CarPlay & Android Auto (AACP).

Aplikasi popular seperti Waze, Spotify, Google Maps dan lain-lain boleh juga digunakan, memperluas keupayaan sistem berkenaan.

4. Sistem Telematik Kenderaan

Sistem Telematik Kenderaan (VTS) juga datang standard untuk Vios dan Yaris kecuali untuk varian 1.5J (ditawarkan sebagai pilihan).

Sistem ini menggunakan GPS/GSM untuk menjejak lokasi kenderaan pada setiap masa sekiranya ia dicuri, membolehkan pengesanan oleh pihak polis boleh dilakukan dengan pantas.

Ia juga boleh meninjau dan merekodkan laju kenderaan serta keadaan operasinya yang lain, dengan data dikirimkan melalui emel kepada pengguna yang ditetapkan melalui aplikasi mudah alih.

5. Pengecas Tanpa Wayar

Untuk mengecas semula peranti elektronik, tersedia dua slot USB 2.1A dan pengecas tanpa wayar (ditawarkan secara pilihan). Soket 12V juga masih tersedia untuk kegunaan peranti elektronik lain atau sebagai sumber mengecas tambahan.

Dengan gaya hidup aktif masa kini di mana pengguna selalu membawa telefon dan peranti teknologi lainnya, ruang barangan turut disediakan di banyak bahagian dalam kabin untuk penumpang depan dan belakang. Selain ruang konsol tengah di antara kerusi depan, turut tersedia ialah ruang cawan dan poket luas pada panel pintu yang boleh memuatkan botol air. Ruang cawan tersebut turut disediakan dengan pencahayaan LED di dalamnya, menyuntik elemen elegan yang tersendiri.

6. Toyota Safety Sense (TSS)

Toyota Safety Sense (TSS) kini disediakan untuk semua varian kecuali 1.5J. Sistem berkenaan terdiri daripada Sistem Pra-Perlanggaran (PCS) dan Amaran Penukaran Lorong (LDA) yang boleh dinyahaktif sekiranya tidak diperlukan.

Ciri PCS akan meninjau keadaan jalan di depan secara berterusan. Sekiranya ada kenderaan dikesan dan mungkin berlaku perlanggaran, pemandu akan diberikan bunyi amaran. Jika tiada tindakan daripada pemandu untuk mengurangkan kelajuan, brek akan diaktifkan secara automatik untuk mengurangkan risiko perlanggaran.

Dengan LDA, sekiranya kereta tersasar dari laluan yang sepatutnya, amaran akan ditunjukkan pada paparan multi-maklumat (MID) dengan bunyi amaran. Ini akan memaklumkan pemandu supaya memperbetulkan laluan.

Lain-lain ciri tambahan pada Yaris dan Vios adalah sistem Isyarat Henti Kecemasan (ESS) yang akan diaktifkan ketika berlaku brek kecemasan.

Selain itu, Peringatan Tali Keledar Belakang juga ada untuk memastikan penumpang belakang mematuhi pemakaiannya. Cagak Isofix dengan cangkuk tether juga disediakan untuk pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak.

7. Lima Bintang ASEAN NCAP

Vios dan Yaris terbaru ini menerima penarafan maksimum lima-bintang oleh ASEAN NCAP. Ciri keselamatan standard termasuk tujuh beg udara SRS dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC). Selain itu, semua varian turut didatangkan dengan ABS dan Agihan Daya Brek Elektronik (EBD) serta Bantuan Brek (BA). Kawalan Mula Mendaki (HAC) juga standard, untuk mengelakkan kereta daripada mengundur ketika berada dalam keadaan jalan curam.

8. Peninjau Pemandangan Panoramik (PVM) 3D

Ia turut dilengkapi ciri baru ialah sistem Peninjau Pemandangan Panoramik (PVM) yang dinaik taraf kepada jenis 3D (sebelum ini hanya 2D). Ia dilengkapi juga oleh kamera belakang dan sensor parkir. Turut tersedia ialah ciri Peninjau Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik di Belakang (RCTA) untuk meningkatkan lagi kepekaan pemandu terhadap kenderaan di sekeliling.

9. Perakam Video Digital (DVR)

Perakam Video Digital (DVR) depan dipasangkan secara standard untuk semua varian kecuali 1.5J, pilihan untuk DVR belakang turut ditawarkan.

Aerokit pula ditawarkan sebagai pilihan, menambah penggayaan pada kereta dengan bampar depan rekaan baru untuk tampil berbeza. Semua kelengkapan itu dipasang di pusat aksesori UMWT sendiri. Pemasangan dilakukan secara profesional.

Harganya pula, ia dijual mengikut varian bermula:

#Toyota
;