Tempatan
Ini Bentuk Belakang Integra Generasi Baharu, Tampil Bentuk Fastback Lima Pintu
Buat peminat Integra, berita kemunculan untuk generasi baharu itu boleh membuat mereka gembira kerana sudah lama untuk menanti kehadiran model berkenaan.
Berita itu disahkan sendiri oleh Acura iaitu divisi pengeluar kenderaan premium di bawah jenama Honda.
Namun pendedahan terbaharu menerusi gambar teaser yang disiarkan oleh Acura, mungkin membuatkan peminatnya sedikit kecewa. Ini kerana Integra generasi baharu bakal tampil dalam bentuk fastback lima-pintu, bukan coupe dua-pintu atau hatchback tiga pintu.
Biarpun Integra popular sebagai sebuah coupe, ia juga pernah dibina dengan model yang mempunyai pintu bagi penumpang belakang. Selain itu, Acura mendaftarkan tanda dagang ‘Integra Type S’ yang membawa petanda kehadiran varian berprestasi tinggi bakal dikeluarkan dalam unit terhad.
Difahamkan, Integra generasi baharu itu diasaskan menggunakan model Honda Civic baharu dan akan dibangunkan di Jepun.
Buat masa ini, tiada pendedahan yang dibuat berhubung rangkaian kuasanya. Jika ia dibangunkan menggunakan model Honda Civic baharu, berkemungkinan ia akan dipadankan enjin 1.5L VTEC Turbo sama ada dilengkapi kotak gear manual enam-kelajuan atau CVT automatik.
Apa yang difahamkan, kemunculan semula Integra generasi baharu itu bukannya tahun ini, tetapi pada 2022.