Antarabangsa
Ini Bukan Honda ADV 150, Tetapi Dayang ADV 150 Yang Hadir Ciri Lebih Baik
Sekali imbas mungkin apa yang anda lihat ini seakan-akan Honda ADV 150, tetapi pada hakikatnya ia adalah sebuah motosikal keluaran China iaitu Dayang ADV150.
Biarpun bentuk hampir sama, ciri teknologi yang ada pada Dayang ADV150 mungkin lebih baik berbanding model sebenarnya. Apa yang dimaksudkan itu adalah kamera ‘on-board’ dipasang pada bahagian tengah lampu depan dan belakang. Fungsinya juga mirip seakan-akan perakam video yang ada pada kereta.
Pada bahagian hendalnya, ia dilengkapi dengan panel TFT berwarna sepenuhnya yang memaparkan pelbagai informasi seperti kapasiti bahan api atau jarak tunggangan. Meter kelajuan itu juga menawarkan bacaan tekanan tayar, selain ia boleh disambung dengan telefon pintar.
Bagi prestasinya, difahamkan ia menggunakan enjin 150cc satu silinder didakwa mampu menyalurkan 12.1Kw pada 8,500rpm dan tork mencecah 14.6Nm pada 6,500rpm.
Skuter itu menggunakan suspensi teleskopik di bahagian hadapan dan peredam dengan mempunyai subtank di belakang. Sistem kuasa hentiannya, kedua-dua roda hadapan dan belakang dilengkapi dengan ciri ABS sebagai ciri standard.
Bagi membuat penampilan sebuah skuter touring, ia menggunakan rim 14 inci di hadapan, manakala belakang dipadankan 13 inci. Ia juga dilengkapi dengan tayar yang lebar untuk meningkatkan cengkaman. Bagaimanapun, Dayang ADV150 baru sahaja diperkenalkan dan harganya masih lagi belum diumumkan lagi.
Sumber Newmotor.com.cn