Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Inilah Toyota Century Convertible yang akan digunakan perarakan Maharaja Jepun baru

Erywan 25/09/2019 | 01:53 MYT
Selepas 30 tahun, Era Heisei yang diketuai oleh Maharaja Akihito sudah melabuhkan tirainya. Menggantikannya adalah anaknya iaitu Naruhito dan serentak dengan itu, Jepun memasuki era baharu yang dikenali sebagai Era Reiwa.
Untuk acara penobatan rasmi yang dijadualkan berlangsung pada 22 Oktober ini, Maharaja Naruhito bakal diarak di hadapan barisan tetamu kehormat dari 190 buah negara dengan menaiki sebuah kenderaan yang istimewa iaitu Toyota Century convertible.
Pada hari berkenaan, Naruhito akan dibawa berarak dari Istana Imperial ke Istana Akasaka melalui jalan sepanjang 4.6km. Jalan itu mengambil masa 30 minit dan dipilih bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, selain memberi peluang kepada orang ramai untuk mengambil gambar.
Selain bumbung terbuka, Century convertible itu juga mempunyai tempat duduk belakang yang ditinggikan sebanyak 40cm, manakala kerusinya disandarkan pada sudut 25 darjah. Ia juga tampil dengan cap mohor emas pada bahagian plat lesen dan pintu belakang.
Perincian teknikal Century convertible ini tidak didedahkan, tetapi berkemungkinan besar mempunyai spesifikasi yang sama dengan model standard generasi ketiga yang diperkenalkan di Tokyo Motor Show 2017. Ini bermakna kuasa didatangkan dari enjin 5.0-liter V8 hibrid yang menjana 425hp.
Selepas upacara itu, kereta istimewa berkenaan akan dipamerkan di istana di Tokyo dan Kyoto, selain digunakan untuk acara rasmi lain seperti sukan Olimpik 2020 yang akan diadakan di Tokyo nanti.
Percaya atau tidak, ini adalah kereta perarakan Maharaja Jepun baru yang pertama dalam tempoh tiga dekad. Kereta perarakan sebelum ini iaitu Rolls-Royce Corniche III 1990 hanya digunakan sebanyak dua kali.
#Toyota #Drebar
;