Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Tempatan

Isuzu Catat Tahun Ketujuh Berturut-Turut Jadi Pilihan Trak No.1 Di Malaysia

Erywan 25/01/2021 | 03:09 MYT

Isuzu Malaysia sekali lagi membuka tirai tahun baharu dengan positif apabila terus berada di kedudukan No. 1 dalam dua kategori bagi tahun 2020 sebagai trak No. 1 di Malaysia selama tujuh tahun dan jenama trak tugas ringan No. 1 untuk 11 tahun berturut-turut.

Berdasarkan data jualan tahunan trak yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA). Jualan trak mencatatkan 4,747 unit dalam semua segmen sepanjang tahun lalu. Bagi trak tugas ringan di Malaysia disumbangkan oleh model utama iaitu trak ELF dengan jualan sebanyak 4,551 unit pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Sdn Bhd, Koji Nakamura berkata, Isuzu Malaysia amat berbesar hati untuk mengakhiri tahun 2020 dengan pencapaian terbaik.
“Jumlah trak yang dijual tahun lalu adalah perkongsian pasaran paling tinggi pernah kami rekodkan sejak Isuzu Malaysia Sdn Bhd ditubuhkan.
“Tahun lalu adalah ulang tahun ke-40 syarikat kami di Malaysia. Jadi, kejayaan ini pastinya satu pencapaian yang hebat buat kami dan fokus adalah untuk terus mengukuhkan kualiti produk serta kecekapan servis bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan,” katanya.
Nakamura menyatakan beberapa inisiatif strategik Isuzu Malaysia untuk mengekalkan pertumbuhan jualan trak, meningkatkan kualiti servis dan kepuasan pelanggan di sebalik situasi pasaran yang sukar sepanjang tahun lalu turut dilaksanakan.
Ia termasuklah pengembangan rangkaian pengedar, pengenalan inovasi produk baharu dan memastikan penyerahan trak baharu kepada pelanggan dilakukan tepat pada masanya.
Beliau turut berkata, strategi Isuzu Malaysia sentiasa berpaksikan kepada aspek kepuasan dan produktiviti pelanggan.
Menurutnya, untuk tahun baharu ini, beliau percaya ekonomi Malaysia akan bertambah baik secara perlahan-lahan dan banyak industri semakin pulih.
“Walaupun Isuzu kini terkenal kerana dapat menawarkan rangkaian luas trak yang menjadi pilihan berikutan kualiti, ketahanan dan kos efisien, kami akan terus fokus untuk memberi lebih nilai kepada semua pelanggan.
“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua kakitangan dan pasukan pengedar yang mantap kerana sentiasa bekerja keras demi pelanggan,” katanya.

#Isuzu
;