Antarabangsa
Jeep Gladiator Top Dog Concept Yang Sesuai Untuk Pengemar ‘Mountain Bike’
Jeep sering kali menghasilkan kenderaan konsep bagi menunjukkan kepelbagaian aksesori yang ditawarkan olehnya. Terbaru, pengeluar trak dari Amerika Syarikat itu memperkenalkan Gladiator Top Dog Concept yang dilengkapi dengan aksesori Jeep Performance Parts (JPP) dan Mopar khas untuk penggemar ‘mountain bike’.
Bagi meningkatkan kapasiti storan, ruang kargo ‘flatbed’ standard digantikan dengan ‘flatbed’ kustom yang mempunyai dua bahagian penyimpanan. Di bahagian sebelah penumpang, terdapat laci dan rak untuk peralatan serta suis lampu luaran manakala bahagian sebelah pemandu pula menempatkan peti sejuk dan dapur gril.
Bahagian bumbung pula dilengkapi dengan sepasang rak yang boleh dijadikan sebagai ruang simpanan tambahan, termasuk untuk basikal. Tangga akses disimpan di dalam laci yang terdapat pada bampar belakang.
Selain itu, Jeep turut melakukan pelbagai modifikasi bagi meningkatkan kebolehan off-road Gladiator. Antaranya adalah penggunaan bampar hadapan JPP Rubicon, gerbang roda keluli serta takal Rubicon Warn berkapasiti 8,000 paun (3,628kg) lengkap dengan tali sintetik berukuran 100 kaki.
Sementara itu, gabungan kit pengangkat dua inci JPP dengan penyerap hentak Fox serta rim ‘beadlock’ aluminium berukuran 17 inci yang dibalut tayar BF Goodrich KM3 pula meningkatkan paras ketinggian trak ini. Turut disertakan adalah selak Mopar pada hud dan lampu sorot LED pada tiang A.
Ruang kabin pula menampilkan upholsteri kulit Katzkin dengan jahitan kontras berwarna biru pada tempat duduk, perehat tangan, gear, stereng dan tuil brek tangan. Sebagai tambahan, terdapat juga pelapik pedal yang diperbuat daripada keluli tahan karat dan alas lantai yang sesuai untuk pelbagai jenis cuaca.
Di bawah hud, terdapat enjin Pentastar 3.5-liter V6 yang mengasilkan 258hpd dan 353Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan empat roda.