Jeep Wrangler tawar edisi khas menerusi Willys dan Black & Tan
Jeep sudah memperkenalkan dua model edisi khas Wrangler iaitu Willys dan Black & Tan. Kedua-duanya adalah berasaskan varian Wrangler Sport S, ditambah dengan kelengkapan luaran dan dalaman yang unik.
Hadir dengan penampilan lebih ranggi, Wrangler Willys mendapat pelekat ‘Willys’ pada bahagian hud, rim aluminium hitam berukuran 17 inci yang dibalut tayar lumpur Firestone dan jeriji hitam berkilat. Turut disertakan secara standard adalah tikar lasak untuk semua jenis cuaca serta lampu utam dan lampu kabus LED.
Ditawarkan dengan 10 pilihan warna, Wrangler Willys dijual pada harga $33,740 (RM140,925) bagi versi dua pintu dan $37,240 (RM155,544) bagi versi empat pintu.
Berlainan dengan Willys, Wrangler Black & Tan lebih sesuai untuk mereka yang bergaya. Ciri yang paling menonjol pada model ini adalah bumbung ‘soft top’ berwarna perang, selain rim Machine Granite 17 inci, tayar ‘all terrain’, pemijak sisi serta lencana dalam kemasan matte.
Bagi pasaran Amerika Syarikat, Wrangler Black & Tan ditawarkan pada harga $32,940 (RM137,583) bagi versi dua pintu dan $36,440 (RM152,202) bagi versi empat pintu.