Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Watch

Kereta ‘Madu Tiga’ pilihan pengantin

Public Anonymous User 14/09/2018 | 01:35 MYT
Apa yang anda lihat, ini adalah jentera lama atau lebih dikenali dengan jolokan nama kereta 'madu tiga' dan kerap menjadi pilihan pasangan pengantin untuk sesi fotografi bagi mengabdikan hari bahagia mereka.

Bagi yang kurang arif berhubung kereta lama, ini adalah Triumph Speed Fire Sport keluaran tahun 1965 dan kini sudah pun berumur 53 tahun.

Jentera itu kerap mencuri tumpuan bukan sahaja peminat kereta klasik malah pasangan pengantin terutamanya di Perak Tengah dan atas popularitinya, kenderaan milik Farid Munir, 27, diberi gelaran 'madu tiga'.

Model unik buatan British itu pada asalnya hanyalah sebuah kenderaan yang terbiar dan menanti masa untuk dimansuhkan. Bagaimanapun pemiliknya bertekad dan sanggup melaburkan sejumlah wang untuk membina semula kenderaan itu.

Bermula dengan bahagian enjin, pemilik asalnya hampir berputus asa apabila beberapa buah bengkel dikunjunginya gagal menghidupkan kenderaan itu sehinggalah menemui GGE GARAGE di Manjung yang mahir menjelmakan semula kereta-kereta lama.

Selepas enjin asal bersesaran 1,500 cc berjaya dihidupkan, penampilan baru diberikan pada kenderan itu, tetapi masih mengekalkan sebahagian komponen asal.

Bermula dengan cat merah Ferrari, Mohd Fauzan memilih untuk mengekalkan bahagian bampar dan jeriji hadapan selepas menjalani proses baik pulih berikutan kenderaan itu terbiar lama.

Lampu hadapannya masih lagi berfungsi cuma menjalani sedikit pengubahsuaian pada lampu belakang dengan menggunakan komponen Mazda RX3 untuk memberikan sedikit kelainan.

Bagi bahagian dalaman, pemilik bukan sahaja bertindak menggunakan papan permukaan binaan khas, malah menukarkan meter asal daripada model Mini Cooper Mark 1.

Kenderaan yang dikendalikan dengan transimisi manual lima kelajuan ini, masih mengekalkan keadaan tempat duduk hadapan dan belakang asal namun diberikan sedikit perubahan dengan membalutinya dengan material PVC berwarna coklat.

Dari sudut luaran pemilik memilih rim yang agak 'rare' bagi menaikkan imejnya sebagai kereta klasik. Selepas selesai proses restorasi dan baik pulih, kenderaan itu kerap mencuri tumpuan apabila dipandu ke mana sahaja.

Berikutan ciri-ciri klasik ditampilkan, ia pernah ditawar dengan harga hampir RM65,000, namun ditolak pemiliknya selepas melaburkan lebih RM20,000 untuk membaik pulih jentera itu.

;