Antarabangsa
Kia Carnival Hi Limousine - Kabin Seperti Kelas Perniagaan Kapal Terbang
Walaupun dalam versi standard, Kia Carnival generasi keempat yang diperkenalkan pada Ogos lalu menawarkan ruang, keselesaan dan praktikaliti antara yang terbaik dalam kelasnya.
Namun, pengeluar dari Korea Selatan itu merasakan bahawa aspek-aspek ini masih boleh diperbaiki dan oleh sebab itu, ia melancarkan varian Hi Limousine.
Ditawarkan dalam versi tujuh dan sembilan tempat duduk, Carnival Hi Limousine mempunyai rekaan bumbung yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan model standard. Hasil daripada modifikasi ringkas ini, ruang lega kepala di dalam kabin bertambah sebanyak 291mm.
Bukan itu sahaja, versi ini juga tampil lebih ‘rugged’ dengan penambahan kosmetik seperti pelindung pada bampar hadapan, pemijak sisi yang memudahkan penumpang keluar dan masuk, lencana ‘Hi Limousine’ pada bahagian tailgate. Lampu brek ketiga pada bahagian belakang bumbung pula memastikan MPV ini boleh dilihat dengan jelas terutamanya pada waktu malam.
Masuk ke bahagian dalam, penumpang akan menikmati suasana bak kelas perniagaan kapal terbang dengan ciri-ciri mewah seperti kerusi kapten pada barisan kedua, skrin infotainmen berukuran 21.5 inci yang dipasang pada siling, sistem pencahayaan ambien dan sistem pembersihan udara.
Selain itu, ciri-ciri standard yang turut disertakan termasuk pemegang cawan sejuk dan panas, tirai tingkap sisi dan belakang serta lampu membaca pada tempat duduk barisan kedua dan ketiga.
Walaupun Carnival ditawarkan dengan tiga pilihan enjin, versi Hi Limousine hanya boleh didapati dengan enjin Smartstream 3.5-liter GDI V6 dengan 294PS dan 355Nm.
Di Korea, MPV serba mewah ini dijual pada harga bermula 60.6 juta won (RM224,850). Kia turut merancang untuk memperkenalkan versi empat tempat duduk, selain menawarkan pilihan enjin diesel.