Antarabangsa
Kia Dedah Imej Sorento 2021
Kia mendedahkan gambar rasmi Sorento serba baharu serta beberapa perincian awal mengenai SUV saiz pertengahan itu.
Bakal memasuki pasaran Korea Selatan bermula Mac, model generasi keempat itu tampil dengan perwatakan yang lebih gagah yang diserlahkan menerusi jeriji ‘hidung harimau’ yang merupakan tanda dagang jenama itu.
Bukan itu sahaja, ia turut mendapat lampu LED baharu dengan lampu nyalaan siang LED yang diinspirasikan oleh mata harimau. Di belakang, rekaan tailgate bersegi lengkap dengan tulisan ‘Sorento’ serta bentuk lampu menegak menghasilkan imej yang lebih premium.
Jika dibandingkan dengan model generasi ketiga, Sorento kini lebih panjang dan lebar dengan perbezaan sebanyak 10mm. Bukan itu sahaja, jarak roda turut bertambah sebanyak 35mm kepada 2,815mm, sekaligus menghasilkan ruang kabin yang lebih luas.
Walaupun lebih besar, penggunaan bahan-bahan ringan membolehkan Kia mengurangkan berat sebanyak 80 kg.
Di dalam, ruang kabin bertambah mewah menerusi penggunaan kemasan metalik, permukaan kayu dan upholsteri kulit. Skrin sentuh berukuran 10.25 inci pada bahagian tengah papan pemuka, kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci serta pencahayaan ambien adalah antara ciri-ciri premium yang ditawarkan pada model ini.
Sorento didatangkan dalam versi tujuh tempat duduk dan buat pertama kalinya ia juga ditawarkan dalam versi enam tempat duduk dengan dua kerusi individu untuk barisan kedua.
Bagi pasaran domestik, model ini ditawarkan dalam versi hibrid yang menggunakan enjin turbo 1.6-liter dengan kuasa keseluruhan sebanyak 227hp dan 350Nm. Selain itu, ia juga boleh didapati dengan enjin turbo 2.5-liter (277hp/421Nm) dan enjin diesel SmartStream 2.2-liter (199hp/440Nm).
Kia mengesahkan bahawa Sorento juga akan hadir dengan satu lagi enjin turbo petrol berprestasi tinggi dan versi hibrid plug-in.
Dari segi keselamatan, SUV ini dilengkapi dengan lapan beg udara termasuk beg udara lutut untuk pemandu. Turut disertakan adalah Multiple Collision Avoidance Automatic Braking System yang berfungsi dengan mengaktifkan brek jika pemandu dikesan hilang kawalan selepas perlanggaran pertama.