Antarabangsa
Kia Sorento Yosemite, Zion Concept - Dinamakan Sempena Taman Negara di Amerika Syarikat
Walaupun pertunjukan SEMA (Specialty Equipment Market Association) tahun ini dibatalkan akibat pandemik COVID-19, syarikat pengeluar di Amerika Syarikat tidak melepaskan peluang untuk menghasilkan pelbagai kenderaan konsep yang menarik untuk dipersembahkan kepada pelanggan mereka.
Kia, yang kini sedang giat memperluaskan barisan SUV mereka, sudah memperkenalkan dua model konsep berasaskan Sorento 2021 iaitu Yosemite dan Zion. Dinamakan sempena taman negara yang terletak di California dan Utah. Kedua-dua model konsep ini dibangunkan untuk mengetengahkan potensi Sorento sebagai kenderaan yang sesuai untuk pelbagai jenis aktiviti lasak.
Bagi menghasilkan model-model konsep ini, Kia menggunakan varian X-Line yang sememangnya khas untuk pemanduan off-road. Ia 8.3 inci lebih tinggi berbanding varian standard dan ini secara tidak langsung memberikannya sudut pendekatan dan pelepasan yang lebih baik. Ia juga didatangkan standard dengan rim 20 inci, rak bumbung dan pacuan semua roda (AWD) dengan mod salji.
Dari segi penampilan, Sorento Yosemite yang dikatakan ideal untuk pemanduan di kawasan pergunungan tampil dengan warna matte Pine Green yang dipadankan dengan kemasan hitam berkilat. Ia juga mempunyai rak penyimpanan di atas bumbung dan bar lampu.
Sorento Zion pula dicat dalam warna Desert Sand, juga dengan kemasan hitam berkilat. Versi ini diinspirasikan oleh gurun yang terdapat di taman negara Zion. Antara kelengkapan yang disertakan adalah kotak kargo bumbung.
Selain itu, kedua-dua model konsep ini turut mendapat dapra kustom, ‘skid plate’ dan rim 20 inci yang dibalut tayar ‘all-terrain’.
Menurut Kia, walaupun majoriti pemilik Sorento tidak melakukan sebarang modifikasi terhadap jentera mereka, masih terdapat segilintir yang cenderung terhadap pengubahsuaian seperti yang didemonstrasikan oleh model konsep Yosemite dan Zion.
Bagi memenuhi permintaan golongan ini, Kia akan menawarkan beberapa aksesori yang dipasang oleh pihak pengedar seperti rak bumbung ‘crossbar’, cangkuk tunda untuk treler serta pemijak sisi.