Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Tempatan

Kia Sportage - Info Yang Anda Perlu Tahu Tentang SUV Generasi Kelima Ini

Erywan 10/06/2021 | 06:24 MYT

Kia Sportage generasi kelima didedahkan secara rasmi dan seperti yang boleh dilihat, ia tampil dengan penggayaan lebih berani yang diinspirasikan oleh konsep reka bentuk terbaharu jenama itu iaitu ‘Opposites United’.

Bahagian hadapan SUV ini menampilkan jeriji Tiger Nose versi terkini yang digabungkan dengan kemasan hitam pada bahagian bawahnya. Elemen pencahayaan yang digunakan terdiri daripada lampu nyalaan siang LED berbentuk boomerang serta empat kluster lampu utama LED.
Sifat sporty profil sisi Sportage diserlahkan lagi menerusi jalur krom yang ditarik sehingga ke tiang D. Tidak cukup dengan itu, buat pertama kalinya pelanggan juga boleh memesan bumbung berwarna hitam. Di belakang, kluster lampu yang tajam disambungkan antara satu sama lain bagi membuatkan model ini kelihatan lebih lebar.
Ruang dalaman tampil lebih premium dan canggih berbanding Sportage sedia ada. Ini kerana Kia mengikut jejak langkah Mercedes-Benz dengan menggunakan sebuah paparan lebar yang melengkung bagi membentuk kluster instrumen digital dan skrin sentuh sistem infotainmen. Sistem terbabit juga boleh diakses menerusi tombol kawalan yang terletak pada konsol tengah. Selain tombol berkenaan, konsol tengah itu turut memuatkan dial pemilihan gear, suis kawalan dan sepasang pemegang cawan. Permukaannya dihiasi dengan kemasan berglos tinggi.

Kia setakat ini masih belum mendedahkan spesifikasi teknikal Sportage, namun model ini dijangka ditawarkan dengan pilihan enjin dan transmisi yang sama dengan kembarnya daripada Hyundai iaitu Tucson. Apa yang pasti, Kia akan menawarkan varian X-Line mempunyai rekaan bampar dan skirt sisi yang unik serta rak bumbung melengkung. Ruang dalamannya pula menampilkan upholsteri hitam atau hijau, serta kemasan kayu hitam.

;