Antarabangsa
Koenigsegg Jesko Absolut - Pencabar Baru Bugatti Chiron Super Sport 300+
Ketika memperkenalkan Jesko setahun yang lalu, Koenigsegg mengesahkan bahawa mereka sedang membangunkan versi lebih ‘hardcore’ yang boleh mencapai kelajuan 300bsj (482.8km/j).
Kini, jentera yang dimaksudkan telah tiba dan ia dikenali sebagai Jesko Absolut.
Setakat ini, Koenigsegg masih belum mendedahkan kelajuan maksimum yang boleh dicapai oleh jentera terbarunya ini, namun mendakwa ia adalah kereta paling laju yang pernah dihasilkan oleh jenama dari Sweden itu.
Apa yang pasti, sasaran Koenigsegg adalah untuk mengatasi rekod kelajuan 490km/j yang dicatat oleh Bugatti Chiron Super Sport 300+ pada tahun lalu.
‘Nadi’ Jesko Absolut adalah enjin turbo berkembar 5.0-liter V8 yang menjana 1,280hp dan 1,000Nm.
Tetapi itu bukan kuasa maksimum enjin tersebut kerana ia sebenarnya mampu menghasilkan 1,600hp dan 1,500Nm jika diberi bahan api ethanol E85.
Tugas untuk menyalurkan kuasa tersebut diserahkan kepada transmisi automatik sembilan kelajuan yang digelar sebagai Light Speed Transmission (LST).
Satu daripada ciri utama LST adalah teknologi UPOD (Ultimate Power On Demand) yang direka untuk menentukan gear yang paling sesuai untuk pecutan maksimum tanpa perlu mengikut turutan gear seperti transmisi klac berkembar (DCT).
Untuk menjadikan Jesko Absolut begitu pantas, Koenigsegg turut menyemak semula aspek aerodinamik jentera ini.
Proses analisa aerodinamik ini dikatakan memakan masa lebih 3,000 jam manakala aspek rekaan dan kejuruteraan pula mengambil masa kira-kira 5,000 jam. Hasilnya adalah pekali seretan 0.278 Cd, lebih rendah berbanding sasaran awal iaitu 0.28 Cd.
Seperti yang boleh dilihat, Jesko Absolut tidak mempunyai spoiler belakang yang besar seperti Jesko biasa.
Ia dibuang bagi mengurangkan ‘downforce’ dan seretan dan digantikan dengan dua sirip hud bagi meningkatkan kestabilan jentera ini pada kelajuan tinggi.
Turut disingkarkan adalah splitter hadapan dan winglet sisi, manakala rim belakang pula mempunyai penutup. Bukan itu sahaja, bahagian belakang Jesko Absolut lebih panjang sebanyak 85mm.