Antarabangsa
Lamborghini Aventador SVJ Xago Edition - Hanya 10 Unit Dengan Guna Tema Heksagon
Ia bukanlah satu rahsia bahawa majoriti pengeluar kereta mewah gemar menghasilkan model-model edisi istimewa dalam bilangan yang terhad bagi meraikan peristiwa-peristiwa tertentu.
Sebagai contoh, Lamborghini memperkenalkan Aventador SVJ Xago Edition untuk menunjukkan keobsesan mereka terhadap tema heksagon. Pengeluaran model ini akan dihadkan kepada 10 unit sahaja.
Menurut Lamborghini, tema heksagon yang digunakan secara meluas pada jentera mereka diinspirasikan oleh corak awan di Kutub Utara di Planet Zuhal.
Untuk Aventador SVJ Xago Edition, bentuk itu boleh didapati pada bahagian badan dalam corak berwarna perak pudar serta pada keseluruhan tempat duduk.
Setiap unit akan menampilkan livery warna kontras daripada pilihan Ad Personam, rim hitam berkilat Nireo serta plat nombor khas.
Tiada perubahan pada enjin, bermakna jentera ini hadir dengan enjin aspirasi natural 6.5-liter V12 yang menghasilkan 770hp dan 720Nm serta transmisi automatik tujuh kelajuan.
Selain Aventador SVJ Xago Edition, Lamborghini turut melancarkan studio maya Ad Personam, di mana model edisi terhad ini boleh ditempah dan dikustom.
Bermula bulan ini, pelanggan kini boleh menempah sesi rundingan selama dua jam dengan kakitangan Ad Personam yang akan berhubung menerusi panggilan video.
Sesi rundingan ini akan disusuli dengan kertas kerja (proposal) termasuk lakaran ‘rendering’ serta contoh material bagi memudahkan pelanggan membuat keputusan.