Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Land Rover Defender Ciptaan Ares Design Tampil Ubah Suai Luaran Dan Dalaman, Selain Guna Enjin V8

Erywan 18/01/2021 | 02:17 MYT

Jika sebelum ini Ares Design menarik perhatian pencinta kereta klasik dengan WAMI Lalique Spyder, projek terbarunya ini dijangka akan mendapat sambutan hangat dari peminat kenderaan off-road khususnya Land Rover Defender.

Ini kerana SUV berstatus lagenda itu bukan sahaja diberikan naik taraf visual untuk bahagian luaran dan dalaman, malah ia juga menerima ‘jantung’ yang lebih berkuasa.
Bermula dari luar, Defender berwarna hitam ini dilengkapi dengan hud gentian karbon, bumbung panoramik, gerbang roda yang lebih lebar serta rim 18 inci yang direka sendiri oleh Ares.
Selain itu, ia mempunyai lampu hadapan LED yang dimuatkan di dalam perumah gentian karbon, serta sepasang lampu bulat baharu di belakang. Kaca tingkap belakang juga lebih besar berbanding versi standard.
Sementara itu, ruang kabin pula diberi sentuhan moden dan mewah dalam bentuk upholsteri kulit serta trim gentian karbon pada papan pemuka dan konsol tengah.
Ciri-ciri terkini lain yang disediakan adalah sistem infotainmen dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto, butang penghidup enjin serta tingkap kuasa.
Naik taraf terbesar Defender ini boleh didapati di bawah hudnya di mana enjin turbodiesel empat silinder yang asal telah digantikan dengan enjin NA V8 berkapasiti 4.8-liter yang mampu menghamburkan 282hp dan 440Nm.
Tugas menyalurkan kuasa ke roda diserahkan kepada transmisi automatik enam kelajuan yang telah diperkuatkan.
Selain transmisi, Ares turut memperkukuhkan gandar dan sendi CV pada aci engkol, selain memasang sistem suspensi boleh laras yang dikawal secara elektronik. Turut diperbaharui adalah sistem brek, yang mana menggunakan angkup enam omboh jenama AP Racing.
Menurut syarikat itu, proses kustom mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan. Harga tidak dinyatakan, namun pelanggan perlu menyediakan Defender mereka sendiri.

#Land #Rover
;