Tekno

Land Rover Defender Dengan Khemah Bumbung Autohome - Menikmati Aktiviti Berkhemah Dan Pengembaraan Dengan Selesa

Erywan
03/07/2020
07:35 MYT
Sponsor Banner
Land Rover Defender Dengan Khemah Bumbung Autohome - Menikmati Aktiviti Berkhemah Dan Pengembaraan Dengan Selesa
Walaupun dilengkapi dengan pelbagai teknologi pemanduan off-road, kebanyakan SUV di pasaran sekarang hanya dijadikan sebagai kenderaan untuk membeli-belah di pasar raya dek kerana ruang kargonya yang luas.
Bagaimanapun, tanggapan ini boleh dikatakan kurang tepat untuk Land Rover Defender yang mana rata-rata pembelinya terdiri daripada golongan yang benar-benar gemarkan aktiviti ‘outdoor’ yang lasak. Mereka ini dilihat tidak berasa takut untuk membawa jentera kesayangan masuk ke dalam hutan.
Menyedari hakikat ini, Land Rover bekerjasama dengan Autohome, sebuah syarikat dari Itali, bagi menghasilkan bumbung khemah khas untuk Defender 110. Penawaran terbaru ini membolehkan pemilik menikmati aktiviti berkhemah dan pengembaraan dengan lebih selesa.
Khemah ini menampilkan rekaan intuitif dan material lasak yang terbukti ketahanannya. Sebuah cengekerang gentian kaca digunakan untuk menyimpan dan melindungi khemah itu apabila ia tidak digunakan. Untuk menaikkannya, pengguna hanya perlu membuka klip pada bahagian belakang dan strut berisi gas akan menaikkan sisi fabrik khemah secara automatik.
Berukuran 2.3m panjang, 1.3m lebar dan 1.5m tinggi, khemah terbabit boleh menampung dua orang dewasa dan hadir dengan tilam bersaiz penuh, bantal, lampu LED dan jaring untuk menyimpan barang. Ia boleh diakses dengan mudah dari bahagian kiri atau kanan kenderaan menerusi tangga aluminium yang boleh disimpan di dalam khemah apabila tidak digunakan.
Khemah bumbung ini boleh dibeli dari wakil pengedar Land Rover atau laman sesawang Autohome dengan harga €3,081.96 (RM14,790).
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar