Lebih RM500,000 Harga Untuk Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition
Acara lelongan kenderaan warisan Mitsubishi UK yang menutup tirainya pada 30 April lalu menyaksikan sebanyak 51 unit kenderaan dari pelbagai era menemui pemilik baharu masing-masing.
Bagaimanapun, satu-satunya jentera yang menjadi buruan ramai pembida adalah Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition (TME). Menurut Mitsubishi, kereta itu dibida pada harga £100,100 (RM572,874), menjadikannya kereta paling mahal terjual pada acara tersebut.
Bukan itu sahaja, bidaan itu juga menjadikan Lancer Evo VI TME sebagai model Lancer Evolution paling mahal pernah dilelong, mengalahkan pemegang rekod terdahulu iaitu Evo IX yang dijual pada harga £99,000 (RM566,578) pada 2017.
Ia dikuasakan oleh enjin 2.0-liter empat silinder MIVEC yang menghasilkan 280PS pada 6,500 rpm dan 373Nm pada 2,750 rpm dengan bantuan pengecas turbo titanium. Enjin terbabit digandingkan dengan transmisi manual lima kelajuan yang menggerakkan keempat-empat roda.
Ciri-ciri eksklusif lain termasuklah skema warna dan rim aloi 17 inci yang diinspirasikan oleh jentera rali Group-A Mitsubishi, tempat duduk Recaro, stereng Momo, nisbah stereng yang lebih cepat dan suspensi talaan khas.
Model-model ternama lain turut dilelong pada acara yang sama termasuklah sebuah Starion dan 3000GT, masing-masing dibeli pada harga £21,100 (RM120,788) dan £24,500 (RM140,251).