Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Modifikasi

Lebih RM55,000 Kos Ubah Suai Untuk Honda Wave 100 Ini

Erywan 13/05/2020 | 04:03 MYT

Honda Wave diperkenalkan ke Vietnam pada tahun 1990-an dan sehingga kini, kapcai jenama Jepun ini masih digemari orang muda serta mereka yang sudah berusia.

Motosikal empat lejang yang anda lihat ini bukan sebuah model standard keluaran kilang, tetapi diubah suai dengan belanja lebih 300 juta dong Vietnam (RM55,751).
Dimiliki seorang individu dari bandar Hanoi, gaya asal motosikal ini cuba dipelihara keasliannya dengan hanya menambah pelekat pemantul berwarna krom untuk menyerlahkan pelekat badan asal.
Beberapa fairing motosikal disaluti gentian karbon dan ini membabitkan panel belakang kepala motosikal, panel tengah antara hendal dan pelana.
Motosikal ini menggunakan meter elektronik jenama Koso. Tuil brek tangan asal digantikan dengan Brembo dengan grip pendikit Motion Pro. Kabel pendikit standard ditukar kepada dwi-wayar jenama Domino dan konsol kawalan butang kanan juga daripada Domino.
Motosikal ini ditambah damper jenama Matris untuk membantu menguatkan kestabilan hendal semasa pecutan serta mengurangkan kesan getaran tunggangan.
Pemilik motosikal ini memilih rim Takasago Excel dan memilih batang jejari sama seperti yang digunakan model Yamaha Nouvo. Tayar pula lebih nipis, apa lagi jika bukan Dunlop T900.
Angkup brek pada roda depan ialah Brembo Moto3 dengan padanan cakera Galfer Racing Moto3. Di belakang, tugas membrek disandarkan kepada angkup Brembo HRC dan cakera Galfer. Aliran minyak brek disalurkan menerus hos Hel, sambungan Earls dan pemisah minyak Staubli.
Sistem suspensi belakang jenama Matris menggalas fungsi imbangan kestabilan di belakang dengan harganya setanding jenama Nitron.
Enjin satu silinder Honda Wave 100 berkapasiti 100cc ditingkatkan menjadi 150cc dengan penggunaan silinder berdiameter 54 milimeter. Tambahan lain ialah koil pencucuhan dan kabel MSD. Tambahan lain ialah skru dan nat titanium serta ekzos kustom.
Sumber gambar dan teks: zingnews.vn

;