Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Tempatan

Lexus ES 250 Kini Ditawarkan Varian F SPORT, Sedan Mewah Sporty Dijual Bermula RM345,134

Erywan 15/10/2021 | 05:44 MYT

Lexus ES 250, antara sedan mewah eksekutif yang menjadi keinginan ramai oleh kerana perincian buatan, keselesaan dan kehalusannya kini diberikan beberapa peningkatan bagi model tahun 2021.

Penambahbaikan utama yang dilakukan termasuklah menyuntik penampilan lebih segar, bertambah selesa serta aspek keselamatan yang dipertingkat.
Terbaru menyertai barisan sedia ada ES 250 ini adalah varian F SPORT dengan gaya khusus serta penyudah yang menakjubkan untuk menawarkan kepada pengguna keunikan tambahan untuk jalanan.
Beberapa aspek rekaan juga diperbaharui dan tampil lebih segar untuk melengkapi bayangan gaya coupe menawan yang ada padanya.
Walaupun rekaan jeriji spindle masih membawakan imej visual khusus Lexus, namun varian F SPORT mempunyai corak mesh yang terdiri daripada elemen L yang bersilang dengan kemasan metalik gelap.
Belahan pada setiap sudut wajah depan juga mengenakan kemasan mesh hitam, tetapi dengan bukaan lebih lebar berbanding dua versi lainnya.
Untuk melengkapi gril depan yang dikemasikini, lampu utama juga menerima sentuhan baru. Bagi Lexus ES 250 Premium, unit projektor bi-LED diberikan reka hias dalaman baru. Lampu LED 3-tahap ultra-kompak pada Lexus ES 250 Luxury dan F SPORT juga diberikan rekaan lampu nyalaan siang yang baru.
Selain kemasan luaran eksklusif yang turut melibatkan spoiler belakang, F SPORT juga dipasangkan set rim khas 19-inci aloi dengan penyudah Dark Premium Metallic.
Ruang dalaman pula, ciri eksklusif bagi varian F SPORT lebih menekan watak lebih sporty. Jam analog dengan pencahayaan yang ada pada papan pemuka mempunyai grafik bentuk L uniknya sendiri, sementara meternya mempunyai gelung logam elektrik boleh alih dengan kesan 3D.

Idea ini pertama kali digunakan pada supercar Lexus LFA dan boleh ditemukan pada varian F SPORT juga. Stereng tiga-jejari F SPORT balutan kulit, tombol gear yang juga dengan balutan kulit serta pedal sport dan perehat kaki aluminium merupakan sebahagian daripada pakej F SPORT.

Kuasanya pula, ia menggunakan enjin 2.5 liter DOHC A25A-FKS petrol. Ia menghasilkan 204 hp pada 6,600 rpm dan 247 Nm pada 5,000 rpm, yang disalurkan melalui transmisi automatik Direct-Shift 8-kelajuan ke roda depan.
Transmisi terbabit menggunakan pengubah tork ultra-nipis dan klac multi-plat terkunci, memberikan rasa langsung sistem dual klac dengan kelancaran pengubah tork automatik tradisional.
Jentera itu boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 210 km/j, dan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.1 saat. Sistem Drive Mode Select pula membolehkan prestasi enjin diberi keutamaan untuk Economy atau Sport, atau diimbang antara keduanya.
Ciri keselamatannya pula, ia dilengkapi Lexus Safety System+ (LSS+) sebagai standard dan bagi model kemaskini terbaru ini, Sistem Pra-Perlanggaran (PCS) datang dengan ciri pengesanan pengayuh basikal waktu siang melalui radar gelombang milimeter dan sensor kamera monokular.
Elemen lain LSS+ ialah Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC) dengan Fungsi Start & Go; Bantuan Pengekalan Lorong; Bantuan Mengesan Lorong (LTA) dan Amaran Penukaran Lorong (LDA); dan Sistem Lampu Tinggi Adaptif (AHS).
Harganya pula, ia dijual bermula RM345,134, selain itu barisan Lexus ES 2021 seperti 250 Premium dan 250 Luxury dijual masing-masing pada RM295,663.50 serta RM329,910.50. Semua harga yang dinyatakan ini ialah harga atas jalan tidak termasuk insurans dan dengan pengecualian SST hingga hujung tahun ini.

#Lexus
;