Lexus NX300 2019 ada ciri Lexus Safety System +. Apa tu?
Selepas empat tahun memperkenalkan Lexus NX di negara ini, kini ia hadir dengan ciri keselamatan yang lebih canggih berbanding sebelumnya.
Ia ditawarkan dengan tiga varian berbeza membabitkan NX300 Premium, NX300 Urban dan NX300 F-Sport. Ketiga-tiganya akan berada di semua bilik pameran Lexus di Malaysia bermula 22 Jun ini.
Apa yang membezakan dengan model terdahulu adalah Lexus Safety System + (LSS+), ia adalah ciri keselamatan aktif ke satu tahap yang lebih tinggi dan menjadi model pertama Lexus menggunakan sistem itu.
Ciri utama pada LSS+ membabitkan:
- Sistem Pra-Perlanggaran (PCS) dengan Bantuan Brek Pra-Perlanggaran,
- Bantuan Pengesan Lorong (LTA)
- Amaran Pertukaran Lorong (LDA).
- Bantuan Belokan Aktif (ACA)
- Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC)
Pada masa sama, ia dilengkapi lapan beg udara SRS yang dipasang pada kabinnya untuk pelindungan pasif bagi semua penumpang. Selain itu, tapak ISOFIX untuk kerusi keselamatan kanak-kanak juga mudah dikesan dan digunakan, tersedia pada tempat duduk barisan kedua.
Luarannya, Lexus NX 2019 kekal dengan tema rekaan Urban Sport Gear, dengan rekaan jeriji spindle yang menjadi tanda khusus bagi jenama Lexus. Lampu isyarat berturutan baru pula menyumbang kepada penampilan terkini yang lebih dinamik.
Bagi varian Lexus NX300 Urban dan NX300 Premium, ia menggunakan rim 18 inci aloi dengan dua tona warna premium. Bagi Lexus NX300 F-Sport, walaupun rim yang digunakan sama saiz, ia menerima kemasan penyudah Dark Premium Metallic dengan saiz tayar yang lebih lebar; 235/55R18 yang menyumbang kepada pemanduan lebih dinamik.
Menyentuh berhubung prestasinya, ketiga-tiga varian itu dikuasakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder petrol (8AR-FTS) yang menghasilkan sebanyak 235 hp antara 4,800 rpm hingga 5,600 rpm, sementara tork pula sebanyak 350 Nm antara 1,650 rpm hingga 4,000 rpm.
Sistem G-Force Artificial Intelligence (G-AI) pula memberikan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan dengan cara membantu memilih kedudukan gear optimum dan corak menurunkan gear sebagai maklum balas kepada G-force.
Pemandu juga boleh memilih antara mod pemanduan yang terdiri daripada Normal, ECO dan Sport melalui tombol Drive Mod Select di tengah. Pada varian NX300 F-Sport, mod tambahan Sport S+ turut tersedia, memberikan prestasi pemanduan yang lebih sporty dengan ciri Suspensi Pembolehubah Adaptif (AVS).
Harga atas jalan tanpa insurans mengikut varian:
Lexus NX300 Urban-RM313,888.
Lexus NX300 Premium-RM333,888.
Lexus NX300 F Sport-RM349,888.