Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Lexus RC F Fuji Speedway Edition - Edisi Terhad Yang Lebih Ringan Untuk Tambah Kelajuan

Erywan 14/09/2020 | 06:21 MYT

Terletak di kaki pergunungan Fuji, Fuji Speedway yang turut digelar sebagai ‘Temple of Speed’ adalah lokasi yang istimewa buat Lexus kerana di situlah lahirnya model-model berprestasi tinggi jenama mewah itu.

Bagi meraikan litar lumba terbabit, Lexus memperkenalkan RC F Fuji Speedway Edition yang diterhadkan kepada 60 unit sahaja.
Model eksklusif edisi terhad ini mengenengahkan pengurangan berat sebagai langkah utama untuk meningkatkan prestasinya. Bagi tujuan itu, jurutera Lexus menggunakan brek karbon seramik keluaran Brembo, sistem ekzos titanium dan komponen aerodinamik gentian karbon seperti hud, bumbung dan ‘splitter hadapan’.
Jumlah berat yang dapat dikurangkan tidak dinyatakan namun menurut Lexus, RC F Fuji Speedway Edition memerlukan hanya 3.9 saat untuk memecut dari 0 hingga 96km/j. Enjin 5.0-liter V8 dikekalkan tanpa sebarang modifikasi, bermakna ia masih menghamburkan 472hp dan 535Nm seperti versi standard.
Coupe ini boleh didapati dalam dua warna iaitu Arctic Blast Satin dan Cloudburst Grey. Ini adalah kali pertama Lexus menawarkan warna Arctic Blast Satin pada model keluarannya. Warna itu mempunyai kemasan separa matte dan ia dikatakan cukup lasak untuk dibersihkan di kedai basuh kereta automatik.
Sementera itu, bahagian dalaman pula didatangkan dengan upholsteri kulit berwarna Circuit Red yang dipadankan dengan perincian Alcantara. Kemasan gentian karbon merah menghiasi segenap ruang kabin sekaligus melahirkan suasana yang sporty.
Setiap pembelian RC F Fuji Speedway Edition didatangkan dengan jam tangan MSTR yang mempunyai elemen-elemen daripada RC F seperti bezel gunmetal, jahitan merah pada tali serta logo Fuji Speedway dan F.
Dalam masa yang sama, Lexus turut mengumumkan penambahbaikan untuk barisan RC F model tahun 2021. Blind Spot Monitor with Rear Cross-Traffic Alert, cermin sisi elektrokromik dan fungsi memori pada tempat duduk pemandu kini didatangkan standard, manakala Intuitive Parking Assist disertakan dalam pakej Premium. Tambahan-tambahan lain termasuk trim satin dan Android Auto.

;