Antarabangsa

Lorong RFID Beroperasi Semua Lebuh Raya PLUS dan LPT2 Bermula 1 April ini.

Erywan
11/03/2020
06:27 MYT
Sponsor Banner
Lorong RFID Beroperasi Semua Lebuh Raya PLUS dan LPT2 Bermula 1 April ini.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menawarkan kemudahan pembayaran RFID di semua 83 tol sistem tertutup dari Utara ke Selatan, termasuk Lebuh raya LPT2 sepanjang Pantai Timur bermula 1 April ini.
Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail berkata, pelaksanaan transaksi tol menggunakan teknologi RFID adalah selaras dengan objektif Kerajaan untuk memodenkan pembayaran tol.
Menurutnya, usaha untuk memperluas kegunaan RFID di lebuh raya PLUS selari dengan kehendak dan keperluan pengguna lebuh raya masa kini agar transaksi tol dapat dilaksanakan dengan mudah tanpa sebarang kerumitan serta lebih lancar di plaza-plaza tol.
“Menerusi RFID, pelanggan lebuh raya tidak perlu lagi berhadapan dengan sebarang kesukaran untuk menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka kerana ia boleh dilakukan dengan mudah secara atas talian menerusi telefon bimbit dan aplikasi Touch ‘n Go eWallet yang dihubungkan terus kepada Tag RFID yang dipasang pada kenderaan,” katanya. PLUS melaksanakan operasi sistem kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya sejak tahun 2017 dan industri lebuh raya mengalu-alukan penggunaan RFID sebagai satu sistem pembayaran tanpa tunai di kesemua lebuh raya sistem terbukanya pada Ogos 2018.
Semenjak 36 bulan yang lalu, PLUS menyelaraskan sistem RFID bersama Touch ‘n Go, di mana ia sudah membawa kepada pelaksanaan di 10 plaza tol sistem terbuka pada 1 Januari 2020 dan bermula April 2020 ini, seluruh rangkaian lebuh raya PLUS (semua plaza tol sistem terbuka dan tertutup) akan menerima pembayaran melalui RFID.
Walaupan transaksi tol menggunakan RFID diperkenalkan, transaksi tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih lagi boleh diterima di plaza-plaza tol bagi memudahkan pelanggan lebuh raya mengambil masa untuk bertukar kepada RFID dalam tempoh jangka masa tahun ini. Bagi membolehkan pelanggan menggunakan sistem RFID untuk transaksi tol, PLUS menasihatkan agar mereka segera memasang pelekat Tag RFID di pusat-pusat pemasangan yang disediakan di seluruh negara.
Pelanggan lebuh raya PLUS boleh mengunjungi pusat pemasangan pelekat RFID (RFID Fitment Centres) yang disediakan oleh Touch ‘n Go Sdn Bhd bagi mendapatkan pelekat RFID Touch ‘n Go.
Maklumat lanjut mengenai lokasi pusat pemasangan tersebut boleh diperolehi melalui pautan di https://rfidregister.touchngo.com.my/fitment-centres.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar