Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Lotus Evora GT - Model Lotus paling berkuasa di pasaran Amerika Syarikat dan Kanada

Erywan 31/07/2019 | 01:05 MYT

Apa yang anda lihat ini adalah model Lotus paling berkuasa dalam pasaran Amerika Syarikat dan Kanada iaitu Lotus Evora GT.

Menggantikan Evora Sport 410 dan Evora 400, ia dikuasakan oleh enjin supercharged 3.5 liter V6 yang menjana 422PS pada 7,000rpm dan 430Nm dari 3,500rpm.

Dengan transmisi manual enam kelajuan, kereta sport itu hanya memerlukan 3.8 saat untuk memecut dari 0 hingga 96km/j dan boleh mencecah kelajuan 303km/j.

Sementara itu, versi automatik turut ditawarkan tetapi dengan harga tambahan sebanyak $2,700 (RM11,121). Ia mempunyai 450Nm, namun masa pecutannya adalah sama dengan versi manual, manakala kelajuan maksimum dikurangkan kepada 280km/j.

Evora GT memakai kit badan terbaru Lotus yang merangkumi lip hadapan dan diffuser yang direka semula, bukaan pada dapra hadapan serta liang udara gentian karbon yang terletak di belakang tayar belakang.

Penampilan agresif model itu dilengkapi dengan rim aluminium bersaiz 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang, dengan padanan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2.

Ruang kabin pula menampilkan kemasan Alcantara pada papan pemuka, panel pintu, terowong transmisi dan konsol tengah. Untuk penampilan lebih eksklusif, pelanggan juga boleh mendapatkan upholsteri kulit.

Bukan itu sahaja, dengan kos tambahan sebanyak $10,000 (RM41,190), pelanggan boleh mengurangkan berat jentera mereka sebanyak 22kg menerusi pakej Carbon Pack.

Sistem ekzos titanium berharga $8,000 (RM32,952) pula bukan sahaja menghasilkan bunyi yang lebih garang, malah mengurangkan berat sebanyak 10kg pada gandar belakang.

#Lotus #Drebar
;