Luar biasa! Mizuki, jentera drag 70-an menanti pemenang cabutan bertuah AOS 2019
Selepas RX-Z Twin Boss dan Papa Jahat, kini tiba pula masanya untuk Mizuki iaitu sebuah kereta kustom Mini Cooper dengan menggunakan enjin Suzuki Hayabusa untuk dijadikan habuan cabutan bertuah pada acara tahunan Art of Speed (AOS) Malaysia 2019.
Buat pengetahuan anda, ini boleh dianggap satu hasil kerja yang cukup mencabar dan ‘gila’. Ini berikutan banyak proses yang perlu diubah suai bagi memastikan Mizuki boleh dipandu seperti biasa.
Pengasas dan pemilik Art Of Speed, Asep Ahmad Iskandar berkata, ketika ini, proses ubah suai dan baik pulih jentera itu sudah pun mencapai hampir 40 peratus untuk disiapkan.
“Pembinaannya sudah pun mengambil masa enam bulan kerana ia sangat sukar dan merumitkan apabila banyak komponen yang digunakan perlu dibina khas sepenuhnya.
“Enjin jentera ini diambil dari model Suzuki Hayabusa keluaran 1999, dan diletak pada kerangka tiub kustom pada ruang but serta tempat duduk belakang,” katanya.
Katanya, kuasa daripada enjin Hayabusa berkapasiti 1,300cc itu akan disalurkan ke transmisi enam kelajuan berurutan (sequential), tetapi ia tidak mempunyai gear undur buat masa sekarang.
“Prestasinya pula, kami menyasarkan ia boleh mencatat masa kurang daripada 11 atau 10 saat bagi jarak suku batu,” katanya.
Menurutnya, kos pembinaan jentera itu sudah pun mencecah hampir RM40,000.
- Kerangka luar: Mini Cooper keluaran 1976
- Enjin: Suzuki Hayabusa keluaran 1999
- Subframe belakang: Digantikan dan diperkuat dengan tiub kerangka
- Tayar dan rim belakang: Rim 13 inci dengan tayar slick 10 inci lebar
- Rim hadapan: 12 inci
- Gandar belakang: Perodua Rusa kustom
- Rangkaian pemacu: Pemacu rantai
- Brek belakang: Honda EG kustom
- Brek hadapan: Asal Mini Cooper
- Suspensi belakang: D2 Motorsport boleh laras HLSH
- Suspensi hadapan: Asal Mini Cooper
- Tempat duduk: Kustom dibuat oleh Saidi Racing Fabrications
- Roda stereng: Asal
- Tangki bahan api: Mooneyes