Antarabangsa
Makin Banyak Stesen Minyak Shell Mansuh Caj Touch ‘n Go
Shell Malaysia memberi berita gembira kepada pengunjung ke stesen minyak Shell dengan memansuhkan caj 50 sen untuk tambah nilai Touch ‘n Go.
Ia membabitkan semua stesen minyak di lebuh raya kendalian PLUS iaitu Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE) dan Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE) serta Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
Januari lalu, Shell mula melaksanakan langkah berkenaan di semua stesennya di sepanjang Lebuhraya Utara - Selatan. Ia sebahagian daripada usaha Shell untuk menambah jumlah stesen minyak yang bebas caj untuk tambahan Touch ‘n Go.
Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain berkata, pihaknya juga menjangkakan untuk memansuhkan caj berkenaan di semua stesen minyak kendaliannya.
Menurutnya, pihaknya memahami cabaran yang dihadapi pengguna khususnya dalam keadaan kos hidup yang terus meningkat.
“Agak sukar untuk berjimat-cermat dalam keadaan perbelanjaan asas seperti makanan, pengangkutan, utiliti dan pendidikan perlu diutamakan.
“Usaha memansuhkan caj tambah nilai ini diharap boleh meringankan beban pengguna dan mengurangkan kebimbangan mereka untuk menambah nilai Touch ‘n Go di stesen minyak Shell,” katanya.