Tempatan
Mazda CX-9 2021 Hadir Ciri Baharu ‘Ignite Edition’, Harga Bermula RM319,847
SUV paling besar keluaran Mazda menerusi CX-9 yang mempunyai tiga barisan tempat duduk menerima penambahbaikan dari segi gayaan dan teknologi bagi keluaran 2021.
Ia kini dilengkapi dengan pakej Ignite Edition yang membuatkannya lebih mewah dan elegan dengan padanan jeriji hadapan rekaan baharu, perumah cermin sisi hitam dan rim aloi aluminium 20 inci warna hitam metalik.
Ruang kabin pula, ia menggunakan tempat duduk kulit warna merah burgundy, selain kemasan hitam pada papan pemuka, panel pintu dan bezel hendal.
Bagi memberi pengalaman yang lebih tinggi kepada pemiliknya, ia turut dilengkapi penukaran gear dengan menggunakan Paddle Shifters, selain sistem infortainmen yang kini dipadankan ciri tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto. Pada masa sama, turut disediakan ciri pengecas tanpa wayar untuk telefon pintar.
Aspek keselamatan CX-9 ditingkatkan lagi menerusi sistem i-Activsense yang terdiri daripada lampu utama LED adaptif, pemantauan titik buta dengan Rear Cross-Traffic Alert, Lane Departure Warning, Lane-Keep Assist, Driver Attention Alert, Smart City Brake Support, Smart Brake Support dan Mazda Radar Cruise Control.
Antara ciri standard yang lain termasuklah stereng dan tombol gear dibalut kulit, kawalan penyaman udara tiga zon automatik. Ia turut dilengkapi lampu dalaman LED, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin serta 10 larasan tempat duduk pemandu dengan ciri memori.
Lampu utama LED hadir dengan diri pelarasan automatik. Lampu nyalaan siang (DRL) LED dan pengelap cermin automatik turut dipasang sebagai ciri standard.
Prestasinya pula, ia menggunakan enjin turbo Skyactiv-G 2.5 dan dipadankan dengan pacuan dua roda atau i-Activ AWD yang mampu menjana 228hp dan tork setinggi 420Nm. Kuasa itu disalurkan ke kotak gear enam kelajuan automatik bersama sistem G-Vectoring Control Plus.
CX-9 yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun itu ditawarkan warna merah, kelabu, putih mutiara, perak, biru dan hitam. Harga untuk varian 2WD dan 4WD dijual masing-masing pada RM319,847 serta RM336,215 (4WD). Ia termasuk pengecualian cukai SST sehingga 31 Disember 2021.
Paling penting, ia didatangkan jaminan dan penyelanggaraan percuma membabitkan alat ganti, minyak pelincir serta kos buruh selama lima tahun atau perbatuan sejauh 100,000km.