Antarabangsa
Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupé Versi CKD, Harga Bermula RM498,722
Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan versi pemasangan tempatan (CKD) SUV berprestasinya menerusi Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupé.
Bagi versi CKD itu, GLC 43 4MATIC Coupé menggunakan enjin 3.0-litre V6 yang mana outputnya meningkat sehingga 23hp menjadikan 390hp. Puncak torknya pula mencecah 520Nm antara 2,500 sehingga 5,000rpm.
Peningkatan output itu berikutan menggunakan talaan perisian baharu dan turbocharger lebih besar yang diletak berhampiran enjin untuk memberi respon lebih baik. Justeru itu, SUV berkenaan mampu memecut 0-100km/j dalam 4.9 saat dan kelajuan maksimum dihadkan secara elekronik sehingga 250km/j.
Kuasa itu disalurkan ke transmisi 9-kelajuan automatik AMG SPEEDSHIFT TCT untuk memberi pemanduan yang dinamik. Gear boleh ditukar menggunakan tombol pada konsul tengah atau padel di belakang stereng.
Bagi memberi perbezaan lebih jelas berbanding varian biasa, versi AMG itu menggunakan gril kepingan sirip krom melintang dan penggunaan lampu hadapan LED dengan Bantuan Tambahan Adaptif Lampu Tinggi.
Pada bahagian sisi pula, ia mempunyai panel pemijak yang membuatkan kenderaan itu tampak rendah, selain dipergayakan dengan rim 21 inci AMG. Menerusi pakej AMG Night pula, pilihan elemen luaran diperkemaskan dengan hitam berkilat.
Dalaman pula, ia juga menggunakan kerusi sport untuk penumpang dan pemandu. Upholsteri diperkemaskan dengan Artico hitam kulit. Ia juga didatangkan stereng AMG balutan Nappa mikrofibre di mana di bahagian bawahnya adalah rata, selain mempunyai butang Touch Control untuk memberikan lebih fokus kepada pemanduan.
Selain itu, ia disediakan lima mod pemanduan membabitkan "Slippery", "Comfort", "Sport", "Sport+" dan “Individual” untuk karakteristik yang berbeza ketika memandu. Pemandu kini boleh menggunakan sistem infotainmen MBUX menerusi skrin sentuh 10.25 inci dan paparan instrumen 12.3 inci.
Harganya pula, SUV berprestasi itu dijual pada harga RM498,722.77 atas jalan tidak termasuk insurans. Dengan Pinjaman Mercedes-Benz menerusi Agility Financing Plan, anda boleh membayar ansuran bulan bermula RM4,987.