Antarabangsa
Mercedes-Benz GLA dengan reka bentuk lebih gagah
Mercedes-Benz GLA generasi kedua diperkenalkan, kali ini dengan reka bentuk yang lebih gagah seperti sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) sebenar serta pelbagai kelengkapan canggih terkini.
Dari segi saiz, GLA tampil dengan ukuran panjang 4,410mm, lebar 1,834mm dan tinggi 1,611mm, menjadikannya lebih lebar serta tinggi berbanding model generasi pertama tetapi sedikit pendek dengan perbezaan sebanyak 14mm.
Ukurannya yang lebih tinggi secara tidak langsung menghasilkan ruang kepala yang lebih luas untuk penumpang hadapan. Jarak roda turut dipanjangkan dari 2,699mm kepada 2,729mm bagi memberikan ruang kaki yang lebih besar dan selesa untuk penumpang belakang. Bukan itu sahaja, kapasiti but turut bertambah sebanyak 14 liter kepada 435 liter keseluruhannya.
Antara teknologi terbaru yang dibawa oleh GLA adalah sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang boleh diaktifkan dengan hanya menyebut frasa “Hey Mercedes”.
Bergantung pada varian, sistem infotainmen itu hadir dengan tiga paparan berbeza yang merangkumi dua skrin berukuran 7 inci; satu skrin 7 inci dan satu skrin 10.25 inci; atau dua skrin 10.25 inci.
GLA turut mendapat pakej bantuan pemandu terkini yang merangkumi ciri-ciri seperti Active Distance Assist DISTRONIC, Active Steer, Bantuan Had Kelajuan Aktif, Bantuan Isyarat Trafik, Evasive Steering Assist, Bantuan Kekal Laluan Aktif, Bantuan Titik Buta Aktif, Bantuan Brek Aktif serta Pre-Safe Plus.
Turut disertakan adalah kawalan keselesaan Energizing yang menggunakan mood pencahayaan dan muzik bagi menghasilkan suasana lebih selesa. Kusyen tempat duduk hadapan juga akan digerakkan sedikit untuk membetulkan postur penumpang.
Seperti GLS, GLA dilengkapi dengan fungsi cuci kereta yang bertujuan memudahkan pemilik menghantar kereta mereka ke kedai mencuci kereta. Apabila ciri ini aktif, cermin sisi akan dilipat, pengelap cermin dimatikan dan kamera 360 dihidupkan.
Model itu dilancarkan dalam dua varian buat masa ini iaitu GLA 200 dan AMG GLA 35 4Matic. Dikuasakan oleh enjin turbo 1.33-liter empat silinder dengan 163hp dan 250Nm, GLA 200 boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 8.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 210km/j.
Sementara itu, GLA 35 4Matic hadir dengan enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghamburkan 306hp dan 400Nm. Ia boleh melakukan pecutan tersebut dalam masa yang lebih singkat iaitu 5.1 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 250 km/j.
GLA200 dilengkapi dengan transmisi automatik 7G-DCT yang memacu roda hadapan, manakala GLA 35 dengan transmisi AMG Speedshift DCT 8 kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic.