Antarabangsa
Mercedes-Benz Lancar SUV Baharu, Tiga Varian GLB Dengan Harga Bermula RM269,118
Mercedes-Benz Malaysia melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) baharunya menerusi model GLB yang ditawarkan dengan tiga varian membabitkan GLB 200 Progressive Line, GLB 250 AMG Line dan Mercedes-AMG GLB 35.
Apa yang menariknya dengan GLB ini, ia menjadi SUV kompak pertama Mercedes-Benz mempunyai kerusi barisan ketiga menjadikan boleh memuatkan tujuh penumpang.
Dengan panjang 2,829 milimeter, GLB mempunyai jarak roda 10 sentimeter lebih panjang daripada model B-Class baharu. Ruang dalamannya juga lebih selesa dengan mempunyai kelegaan kepala sehingga 1,069 meter bagi tempat duduk barisan pertama.
Bagi tempat duduk ketiga pula, ia boleh diduduki penumpang dengan ketinggian sehingga 1.68 meter yang memberi keselesaan optimum. Keselesaan tempat duduk barisan ketiga lebih baik selepas dilengkapi dengan 2 tempat letak bekas minuman serta slot USB untuk mengecas gajet.
Dari segi teknologinya, GLB kini dilengkapi dengan Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Ia mempunyai dua skrin sesentuh tujuh inci untuk kluster instrumen dan paparan infotaimen.
GLB 200 Progressive Line
Bagi varian paling rendah, SUV ini dijanakan dengan enjin empat silinder 1.3 liter turbocharged yang turut dibekal transmisi tujuh kelajuan automatik.
SUV itu menyalurkan 163hp dengan tork setinggi 250Nm yang mana ia mampu menyalurkan 0-100km/j dalam menyalurkan 9.1 saat. Dari segi pecutan pula, ia boleh memecut sehingga 207km/j. Harganya pula dijual pada RM269,111.15.
GLB 250 4MATIC AMG Line
Dijana dengan enjin empat silinder 2.0 liter turbocharged, ia turut menggunakan transmisi lapan kelajuan automatik (8G-DCT).
Dari segi prestasinya, ia menyalurkan 224hp dengan tork setinggi 350Nm yang mampu memecut 0-100km/j dalam 6.9 saat dan kelajuan maksimumnya pula adalah 236km/j.
GLB 250 AMG Line ini dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda sepenuh masa (4Matic). Berbeza dengan GLB 200, varian ini menerima sentuhan AMG Line untuk memberi penampilan lebih menarik serta sporty.
Gaya AMG itu turut menyerlah dengan padanan jeriji radiator berbentuk berlian untuk memberi penampilan eksklusif. Harganya pula dijual pada RM318,009.26.
Mercedes-AMG GLB 35 4MATIC
Ini adalah SUV paling berkuasa dalam keluarga GLB. Ia menggunakan enjin empat silinder AMG 2.0 liter turbocharged. Enjin itu menghasilkan output 306hp dengan tork mencecah 400Nm yang disalurkan ke transmisi AMG Speedshift 8G-DCT lapan kelajuan automatik.
Seperti varian GLB 250, Mercedes-AMG GLB 35 ini juga dijanakan dengan sistem pacuan semua roda yang berkebolehan memecut 0-100km/j dalam 5.2 saat sahaja.
Kelajuan maksimumnya pula mencecah 250km/j, ia lebih laju 14km/j berbanding GLB 250. Harganya, ia dijual pada RM363,136.52.