Tempatan

MINI Edisi 60 tahun – Tawar 60 unit sahaja harga RM255,888

Erywan
13/08/2019
05:16 MYT
Sponsor Banner
MINI Edisi 60 tahun – Tawar 60 unit sahaja harga RM255,888
Sempena enam dekad, MINI jenama automotif premium kompak di Malaysia memperkenalkan MINI Edisi 60 Tahun buat pasaran tempatan.
Uniknya, ia hanya terhad 60 unit sahaja dengan didatangkan bersama ciri-ciri, reka bentuk dan inovasi yang eksklusif.
MINI Edisi 60 Tahun ditawarkan secara eksklusif di Malaysia menerusi varian MINI Cooper S 3 Pintu, didatangkan dalam warna Hijau ‘British Racing’ dengan bumbung dan penutup cermin sisi berwarna putih.
Sebagai alternatif, model eksklusif itu juga akan ditawarkan dalam warna ‘Melting Silver’ dengan bumbung dan pelitup cermin sisi berwarna ‘Jet Black’.
Jalur bonet berwarna hitam serta jaluran halus dalam warna ‘Aspen White’ dan ‘British Oak’ turut menonjolkan keeksklusifan jentera MINI Edisi 60 Tahun itu.
Dengan pakej kelengkapan 60 Years Chili, jentera berkenaan hadir dengan lampu hadapan LED, lampu kabus LED, indikator berwarna putih dan lampu belakang LED dengan imej rekaan Union Jack yang unik.
Spoiler belakang menonjolkan lagi perwatakan jentera berkenaan dan set roda aloi ringan 17 inci yang eksklusif bersama 2 tona.
Dari segi prestasinya, ia menggunakan enjin MINI TwinPower Turbo empat silinder berkapasiti dua liter yang menyalurkan 192hp dengan tork puncak 280Nm. Ia mampu memecut 0 hingga 100 km/j hanya dalam masa 6.7 saat dan kelajuan maksimum mencecah 235km/j.
Ruang kabin menampilkan stereng sport MINI Yours bermaterialkan kulit ‘Walknappa’ yang mempunyai logo 60 Tahun.
MINI Edisi 60 Tahun juga hadir dengan pakej pencahayaan dalaman, komputer terintegrasi, penyaman udara dengan fungsi kawalan suhu automatik, sensor hujan dan pakej kompartmen muatan.
Bukan itu sahaja, keupayaan keterhubungan yang ekstensif dan perkhidmatan yang diperibadikan juga ditawarkan melalui MINI Connected. Ia hadir dengan fungsi Panggilan Kecemasan Pintar, Teleservices, MINI Dalam Talian (MINI Online) dan Servis Jarak Jauh.
Sempena sambutan Ulang Tahun MINI yang ke-60, mereka yang membeli MINI Edisi 60 Tahun bermula hari ini sehingga 31 Ogos 2019 bakal menikmati tawaran program Inklusif Servis + Pembaikan MINI 60 Bulan. Ia dijual pada harga RM255,888 atas jalan tidak termasuk insurans. Dengan ‘Easy Drive’ yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, MINI Edisi 60 Tahun boleh dimiliki dengan pelan ansuran bulanan bermula daripada RM3,358 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80 peratus bagi tempoh empat tahun, dengan had perbatuan berjumlah 20,000 km setiap tahun).
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024