Tempatan
Mini Klasik 500hp, Harga Untuk Memilikinya Lebih RM600,000
Mini klasik yang sinomin dengan Mr Bean, sebenarnya mempunyai pengaruh kuat dalam golongan peminatnya.
Ada yang suka menjaga keasliannya dan tidak kurang juga melakukan ubah suai menukar enjin untuk meningkatkan prestasi.
Seperti Mini klasik warna merah ini yang dinamakan Super Cooper Type S. Luarannya tampak biasa sahaja seperti sebuah jentera standard, tetapi enjinnya boleh dikatakan sangat menarik.
Gildred Racing, penala dari Buellton, California, melakukan ubah suai luar biasa pada Mini Cooper dari tahun 1970-an itu.
Mini itu menggunakan enjin Acura J32 V6 Type S berkapasiti 3.5 liter. Enjin berkenaan tidak diletak pada bonet hadapan, tetapi berada di bahagian tempat duduk belakang dengan mempunyai penutup.
Bagi menambahkan kuasanya, ia ditambah dengan Rotrex C38-81 Supercharge dengan kuasa maksimum mencecah 502hp dengan tork setinggi 519Nm.
Kuasa itu juga disalurkan ke transmisi enam kelajuan dengan nisbah pendek yang mana ia boleh memecut 0-96.5km/j kurang 4 saat.
Berbeza dengan versi asal, Mini ini dijanakan dengan pacuan roda belakang. Bagi mengimbangkan berat jentera, tangki bahan api, dan komponen elektronik diletak pada bonet hadapan.
Bagi mereka yang mahu memilikinya, Gildred Racing menawarkan harga USD150,000 (RM635,025) untuk Super Cooper Type S.
Biarpun ia mahal, ini adalah Mini yang luar biasa dan anda boleh menonton video untuk lebih jelas tentang kenderaaan berkenaan.
Sumber: www.supercoopers.com